KUALA LUMPUR, 16 Mac- Skuad Projek FAM-MSN bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk membenam Tok Janggut Warriors FC 5-1 pada aksi pusingan pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Skuad projek yang turun tanpa sembilan pemain yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia-SPM, terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan Khairul Izuan Rosli pada minit ke-18.
Mereka bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Haikal Sahar pada minit ke-31.
(Projek FAM-MSN tewaskan Tok Janggut Warriors FC 5-1 pada aksi pusingan pertama
di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam)
Di babak kedua, Haikal menggandakan jaringan pasukannya pada minit ke-51 sebelum melengkapkan hatrik dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-62.
Skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu terus menambah derita lawan mereka dari Liga M3 itu, apabila Wan Syamil Sulaiman Wan Salman menanduk masuk gol keempat selang lima minit kemudian.
Skuad Projek yang beraksi di Liga Premier buat musim kedua meledak gol kelima menerusi Ubaidullah Shamsul pada masa kecederaan, sekali gus mara ke pusingan kedua.