KUALA LUMPUR, 24 Jun – Skim Wajib Tayang terus menjadi tunjang utama dalam memastikan filem tempatan mendapat ruang yang adil di pawagam dan mampu bersaing secara sihat dalam pasaran industri perfileman tanah air.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac berkata skim itu bukan sahaja membuka peluang tayangan kepada penerbit tempatan, malah turut membantu dari segi strategi pemasaran dan promosi filem.
“Kita beri filem tempatan peluang terbaik untuk berjaya. Kutipan yang baik membolehkan penerbit hasilkan karya seterusnya dengan kualiti lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, di sini.
Tambah beliau, peningkatan jumlah kutipan filem tempatan kebelakangan ini, termasuk beberapa filem Melayu yang berjaya menduduki carta teratas box office, jelas menunjukkan potensi besar industri filem negara untuk terus berkembang.
Dalam masa sama, Hans turut menyeru rakyat Malaysia agar menyokong filem tempatan sebagai satu bentuk solidariti dan perpaduan nasional.
“Pawagam bukan sekadar hiburan, ia medium penyatuan. Keluarga Malaysia keluar menonton filem tempatan bersama – itu semangat yang kita mahu pupuk,” ujarnya.
FINAS, katanya, kekal komited menyediakan platform dan dasar yang menyokong pembangunan industri filem secara menyeluruh, termasuk meningkatkan mutu penerbitan dan memperkasa bakat kreatif tempatan.