KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER - Mendekati usia 28 tahun perjalanan karier dalam bidang seni suara, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza kini tampil dengan album solo ke-20 berjudul Sitism.
Siti Nurhaliza menyifatkan album itu mempunyai makna yang tersendiri kerana dapat bekerjasama dengan penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik lama dan juga baharu.
Siti berkata ini sekali gus menjadi formula utama penerbitan albumnya.
Tambah Siti, album Sitism menggambarkan diri beliau seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan vokal.
Lebih istimewa apabila Siti mengundang penyanyi legenda rock negara, Datuk Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih.
Ini merupakan penampilan pertama Datuk Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.
Album yang mengandungi 12 lagu tu sehingga kini telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September tahun ini.