fb fb fb fb fb

Siti Nurhaliza lancar single terbaharu 'Sejarah'

Siti Nurhaliza (kanan) dalam majlis pelancaran single terbaharu berjudul "Sejarah"

KUALA LUMPUR, 26 November- Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin melancarkan single terbaharunya berjudul "Sejarah" dalam sebuah acara yang diadakan di sebuah hotel di sini, semalam.

"Sejarah" hasil ciptaan komposer Erwin Gutawa dengan lirik oleh anaknya, Gita Gutawa mengetengahkan tema pengalaman hidup dan rasa kesyukuran. Susunan muziknya turut melibatkan Czech Symphony Orchestra memberikan sentuhan istimewa kepada karya berkenaan.

"Lagu ini membawa makna mendalam bagi saya kerana ia seperti menggambarkan perjalanan seni saya selama 30 tahun. Setiap bait liriknya menyentuh emosi saya dan mengingatkan kepada fasa-fasa penting dalam kerjaya," ujar Siti.

Rakaman vokal "Sejarah" dilakukan dengan kerjasama komposer, penerbit muzik dan pemain keyboard terkenal negera, Aubrey Suwito.

Mengulas tentang gandingan semula bersama Erwin Gutawa, Siti berkata, "Saya memang meminta beliau mencipta sebuah lagu yang menceritakan perjalanan seni saya. Hasilnya, Sejarah menjadi karya yang sangat dekat di hati saya."

Diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd. dan Universal Music Sdn. Bhd., "Sejarah" kini boleh distrim di pelantar digital sejak 14 November lepas.

Pada majlis sama, Siti turut meluahkan penghargaan kepada pihak media yang selama ini menyokong kerjayanya.

"Media adalah antara tulang belakang penting dalam perjalanan saya. Mereka bukan hanya sebagai penyampai berita, tetapi juga sebahagian daripada keluarga seni saya," katanya.

Acara itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah dan pemberian cenderahati kepada tetamu.

Universal Music turut menyampaikan plak penghargaan kepada Siti atas pelancaran "Sejarah" dan pengiktirafan sebagai Biduanita Negara.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA