fb fb fb fb fb

Biduanita Negara mahu terus banggakan negara

Foto Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR, 17 November- Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 45 atau lebih mesra disapa Tok Ti terus membanggakan negara dengan melakar sejarah tersendiri apabila diwatikahkan sebagai Biduanita Negara yang merupakan satu penghormatan tertinggi dalam karier seninya.

Anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada penggiat seni yang cemerlang dan konsisten dalam memartabatkan industri seni tempatan.

Pengiktirafan berkenaan sekali gus membuktikan anak kelahiran Lipis itu sebaris dengan Allahyarham Puan Sri Saloma (1978), Allahyarham Datuk Sharifah Aini (2006) dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013) yang juga penerima anugerah berkenaan.

Keistimewaan beliau bukan sahaja terletak pada kehebatannya dalam seni nyanyian, tetapi juga dalam mencipta lagu, berlakon, menulis lirik, penerbitan, usahawan, dan aktif sebagai aktivis sosial.

Kepelbagaian bakat yang dimiliki jelas membuktikan beliau sememangnya layak menerima gelaran Biduanita Negara.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan status beliau sebagai ikon seni dan duta budaya Malaysia di persada dunia.

1711 HI SITI BIDUANITA 3Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Khas Biduan Negara 2024 pada Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024/ BERNAMA

"Insya-Allah saya akan berikan yang terbaik selagi saya dalam industri ini. Saya mahu membanggakan Malaysia dan memberi sesuatu yang positif bukan sahaja untuk diri saya tapi untuk masyarakat dan juga negara" katanya.

Beliau bercakap demikian ketika ditemui pemberita RTM di Angkasapuri Kota Media di ibu negara.

Tidak hanya di Malaysia penyanyi yang juga usahawan dalam bidang kecantikan itu juga melebarkan sayap dengan menembusi pasaran antarabangsa, terutama di Indonesia, Singapura, dan Brunei.

Sepanjang kerjaya yang gemilang, beliau telah menghasilkan lebih 30 album, merakam lebih 300 buah lagu, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta mencecah enam juta unit jualan album secara fizikal.

Juara Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) pada 1995 itu turut memegang dua rekod Malaysia Book of Records iaitu Artis Malaysia Pertama Mengadakan Konsert Solo di Royal Albert Hall, London dan Artis Paling Banyak Menerima Anugerah di Malaysia.

Penerima Anugerah Biduan ke-4 itu juga mempamerkan dedikasi seni dan keupayaan memukau peminat seiring dengan kejayaan yang dicipta berikutan lebih 300 anugerah tempatan dan antarabangsa yang diterima.

"Saya sendiri mempunyai pengalaman tersendiri dalam industri, ada yang manis mahu pun pahit itu lumrah bergelar anak seni. Jadi apa yang saya lakukan adalah untuk industri tanah air," katanya lagi.

Mengukir nama lebih tiga dekad dalam industri seni, keampuhan vokal yang dimiliki tidak boleh dinafikan selain cemerlang mencipta nama dalam setiap pertandingan yang disertai.

Bermula dari pentas kecil hingga ke pentas besar, pasti ada 'buah tangan' yang dibawa pulang.

Album demi album dilancarkan, pelbagai genre muzik menjadi cubaan penyanyi kesayangan Malaysia itu selain lagu dendangannya terus menjadi siulan ramai sekali gus menjadikan beliau terus menempa nama dalam industri seni.

Pelantun lagu Jerat Percintaan itu bukan sahaja memukau dengan lagu-lagu pop dan balada, tetapi juga memartabatkan irama Malaysia, yang menjadi lambang warisan dan identiti bangsa tanah air.

Buktinya beliau memiliki album irama Malaysia sendiri iaitu Sanggar Mustika pada tahun 2002, Klasik (2007), Lentera Timur (2008) dan setiap album yang dihasilkan pasti diselitkan lagu dalam kategori berkenaan.

"Lagu tradisional, penari tradisional karya-karya seni yang ada di Malaysia ini sangat-sangat istimewa bagi saya. Saya harap ini menjadikan suntikan semangat kepada karyawan yang lain khususnya dalam bidang nyanyian ataupun seni muzik untuk terus berjuang," katanya.

Siti Nurhaliza dengan perjuangan dalam bidang seni dan jasanya mengangkat lagu-lagu Melayu ke persada antarabangsa, akan terus terpahat sebagai anak seni disegani sepanjang zaman.

Anugerah Biduan Negara dianugerahkan kepada penggiat seni yang cemerlang dan konsisten dalam memartabatkan industri seni tempatan.

Siti Nurhaliza diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Biduan Negara pada malam Anugerah Seni Negara 2024 yang diadakan di ibu negara pada 13 November lalu.

"Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi atas kepercayaan untuk saya menerima anugerah ini.

"Ini adalah sumbangan kacil saya dalam bidang seni budaya khususnya seni suara untuk terus menjaga, ememlihara warisan dan cerminan jiwa bangsa kita," kata Siti.

Sementera itu ketika mengimbau perjalanan karier seorang anak seni bernama Siti Nurhaliza, pastinya bertunjangkan sokongan daripada keluarga tercinta.

'Ibarat gadis desa bunga melur, sederhana... Walau kering tak bercahaya bunga melur... Baumu memikat jiwa...' (lirik lagu Bunga Melur)

Bait-bait lagu Bunga Melur terus mengingatkan insan seni itu kepada Allahyarham bapanya, Tarudin Ismail yang sering mengibaratkan beliau seperti bunga melur. Sederhana tetapi tetap memikat dengan keharuman dan keistimewaannya tersendiri.

Bermula sebagai anak desa yang merantau ke ibu negara beliau ketika itu hanya memegang satu niat untuk membantu keluarga dengan bersandarkan bakat dan keistimewaan yang dikurnia.

Seawal usia 17 tahun, beliau mula menumpukan sepenuh perhatian dalam dunia seni suara selain mendapat dukungan penuh daripada keluarga.

1711 HI SITI BIDUANITA 2Ummi Umairah bersama-sama ibunya Siti Nursairah Tarudin (kanan)

Siti Nursairah Tarudin menyifatkan kakaknya sebagai seorang insan seni yang sentiasa memberikan yang terbaik, memperlihatkan dedikasi dan profesionalisme luar biasa sepanjang perjalanan kariernya.

"Apabila Kak Siti cuba untuk masuk ke pertandingan Bintang HMI, ia bermula daripada Abang Ayie (Saiful Bahri Tarudin) yang meminta izin daripada arwah abah untuk bawa Kak Siti pergi ke pertandingan.

"Itu juga merupakan pertandingan pertama yang disertai Kak Siti. Selepas mendapat kebenaran daripada arwah abah dan mak, alhamdulilah Kak Siti berjaya dalam pertandingan itu, dia menjadi juara," kata Sairah.

Walaupun ketika itu Sairah masih lagi dalam usia muda, tetapi kesungguhan yang ditonjolkan Siti Nurhaliza memberikan impak yang besar dalam karier yang dibina.

"Saya nampak kesungguhan dia yang membuatkan Kak Siti berjaya menempatkan diri dalam dunia seni selain sokongan daripada ahli keluarga. Arwah abah dengan mak memang jadi penguat untuk Kak Siti," kata Sairah lagi.

Pembawa nama Siti Nurhaliza bukan sahaja menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dalam industri seni, tetapi kehebatannya juga turut membanggakan seluruh ahli keluarga.

Bagi penyanyi muda berbakat besar, Ummi Umairah, atau lebih mesra dikenali sebagai Umai, yang juga anak saudara beliau, mengakui bahawa kehebatan yang dimiliki terus menjadikan Siti Nurhaliza sebagai idolanya.

"Dari saya kecil sampai sekarang Mak Iti merupakan inspirasi saya. Ia termasuk nyanyian dan prinsip yang dimiliki. Mak Iti juga merupakan inspirasi untuk generasi muda," kata Umai.

Keunggulan Siti Nurhaliza terus mewarnai industri seni tanah air dan turut bersinar di persada antarabangsa.

Baru-baru ini sebagai tanda mengabadikan perjalanan seni selama hampir tiga dekad dalam dunia seni, Siti Nurhaliza hasilkan sebuah lagu berjudul 'Sejarah'.

Lagu berkenaan merupakan ciptaan komposer terkenal Indonesia Erwin Gutawa menjadi karya istimewa yang dekat di hati beliau dan para peminat.

'Sejarah' mengimbau setiap detik penting dalam karier seni beliau yang menjadikannya sebagai sebuah karya bermakna yang melambangkan perjalanan seorang Siti Nurhaliza.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI