LONDON, 17 November- Tiket untuk Festival Glastonbury tahun depan habis dijual dalam masa 35 minit pada Ahad, dengan lebih 200,000 orang dijangka menghadiri acara muzik terkenal dunia itu yang akan diadakan kawasan pedalaman barat daya England.
Jualan bermula pada pukul 9 pagi dan penganjur acara memaklumkan di platform media sosial X pada 9.35 pagi bahawa tiket untuk Glastonbury 2025 telah habis dijual.
"Terima kasih kepada semua yang membeli, dan maaf kepada mereka yang terlepas peluang ini, pada pagi di mana permintaan jauh lebih tinggi daripada bekalan. Akan ada penjualan semula tiket yang dibatalkan atau dikembalikan pada musim bunga 2025," kata mereka.
Pada tahun ini, bintang pop terkenal British-Albanian Dua Lipa dan kumpulan indie-rock Coldplay adalah antara nama besar yang membuat persembahan. Malah, perbincangan untuk memastikan barisan artis bagi festival tahun depan, yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 Jun, dilaporkan sudah dimulakan.
Pemandangan ribuan khemah yang memenuhi ladang di Worthy Farm, kampung Pilton, telah menjadi simbol musim panas British sejak festival itu pertama kali diadakan pada tahun 1970.
Selain lebih 3,000 persembahan di sekitar 80 pentas, festival berkenaan juga menawarkan pesta sepanjang malam, pameran seni dan perarakan meriah.
Harga tiket biasa untuk acara tahun depan adalah £373.50 (sekitar RM2,230).
Dikenali sebagai Glasto, festival itu diinspirasi oleh budaya kontra dan pergerakan hippie 1960-an Britain, dengan versi pertamanya dikenali sebagai Pilton Festival pada tahun 1970.
Ketika itu, kumpulan T.Rex menjadi artis utama. Sejak itu, festival tersebut mula menjadi perhatian dan menarik nama-nama besar seperti David Bowie, Paul McCartney, Stormzy dan Elton John yang tahun lepas membuat persembahan terakhirnya di UK.
Penganjur, Emily Eavis, menyatakan festival berkenaan akan berehat pada tahun 2026.- AFP