LABUAN, 17 November- Hampir 2,000 peminat dan pendengar LABUANfm hadir pada penganjuran Konsert Hiburan Tanpa Henti 2.0.
Konsert tersebut menampilkan 10 artis jemputan khas antaranya Noraniza Idris, Dhania Bintang RTM, Ayai Illusi, Azharina Azhar, dan kumpulan Drama Band.
Timbalan Pengarah Penyiaran Labuan, Fauziah Mohd Sidek berkata, ini merupakan adaptasi daripada segmen Variasi iaitu Hiburan Tanpa Henti yang bersiaran setiap hari dari pukul 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang di LABUANfm.
Dengan tema tradisional moden, penganjurannya merupakan tanda penghargaan kepada pendengar yang sentiasa memberi sokongan kepada stesen berkenaan.
Konsert terbabit juga menjadi platform jabatan mendekati penonton yang hadir, selain memberikan informasi mengenai program-program yang disediakan stesen tunggal di Labuan itu.