KUALA LUMPUR, 16 November - Komposer terkenal, Datuk S Atan meninggal dunia pada usia 75 tahun di kediamannya di Taman Bukit Kajang Baru, Selangor petang tadi akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Berita pemergian S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said disahkan sendiri isterinya, Datin Norizan Yeob ketika dihubungi Bernama.
“Ya, suami saya telah menghembuskan nafas terakhir di rumah,” katanya ringkas.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia, Sandakiah Azez memaklumkan allahyarham yang berasal dari Singapura sudah lebih sebulan sakit dan pernah mendapatkan rawatan di hospital pada September lepas.
“Sejak daripada itu, saya dan ahli persatuan kerap menziarahi allahyarham di rumahnya. Beliau terpaksa menggunakan bantuan alat pernafasan dan percakapannya juga tidak berapa baik.
“Datin Norizan memaklumkan kesihatan suaminya semakin merosot sejak semalam,” katanya.
Sandakiah turut memaklumkan urusan pengkebumian jenazah, termasuk solat jenazah dijangka dilakukan pada esok pagi.
S Atan cukup terkenal dengan sentuhan lagu Melayu Deli yang dirakam penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.
Antara lagu raya popular malar segar ciptaannya ialah Menjelang Hari Raya dendangan Datuk DJ Dave; Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman); Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone); Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah); Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Indah Beraya di Desa (Azlina Aziz).-BERNAMA