fb fb fb fb fb

Bapa pelakon Sharnaaz Ahmad dikebumikan petang ini

Bapa Sharnaaz Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.24 pagi di PPUM, Kuala Lumpur.

GEORGE TOWN, 27 November – Bapa kepada pelakon Sharnaaz Ahmad, Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad, 78 tahun, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Lama, George Town, Pulau Pinang, selepas solat Asar hari ini.

Jenazah allahyarham tiba di pekarangan Masjid Syed Yusof sekitar pukul 9 pagi tadi, diiringi ahli keluarga terdekat.

Isteri allahyarham, Datuk Marina Puteh, memaklumkan suaminya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.24 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Menurutnya, allahyarham sebelum ini menjalani pemeriksaan kesihatan rutin setiap lima bulan, namun kali ini doktor mendapati paras hemoglobin beliau rendah dan memerlukan pembedahan.

"Arwah disahkan menghidap kanser esofagus, dan pembedahan berjaya dilakukan. Namun, komplikasi selepas pembedahan, khususnya disebabkan faktor usia, telah membawa kepada pemergiannya," katanya.

Bazir Ahmad pernah berkhidmat sebagai Pemimpin Kombo di RTM Pulau Pinang selama 10 tahun sebelum bersara.

"Arwah sangat komited dengan kerjanya di RTM, terutama dalam menghasilkan muzik berkualiti. Sebelum itu, beliau adalah pemimpin Orkes Teruna Ria dan kugiran King Cross. Salah satu karya terkenalnya ialah 'Udara Pujaan,' yang dinyanyikan oleh Datuk L. Ramlee," kata Marina.

GRACE AISYAH KEDAYAN