fb fb fb fb fb

'Simfoni Budaya II' tampil sisi muzik berbeza

Rojer Kajol (paling kiri), Hazra Dollah, Datuk Andre Goh, Zehra Zambri dan Danial Chuer (paling kanan)

KUALA LUMPUR, 23 Mei- Simfoni Budaya II, yang akan berlangsung pada 5 Julai depan bakal menampilkan sisi muzik berbeza di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), ibu negara.

Konsert itu merupakan kesinambungan kejayaan Simfoni Budaya I tahun lalu yang mengangkat irama keroncong dan ghazal ke tahap lebih tinggi melalui gubahan orkestra, menampilkan nama-nama seperti Datuk Yusni Hamid, Asmidar dan Haziq Rosebi.

Simfoni Budaya II diterajui Ahmad Muriz Che Rose selaku konduktor, menjanjikan paduan harmoni antara muzik orkestra dan irama tradisional seperti joget, asli dan zapin dalam sebuah keraian budaya penuh warna.

Antara karya malar segar yang bakal dipersembahkan termasuk Dikirim Jangan Dipesan Jangan, Mas Merah, Fatwa Pujangga, Nirmala, Tudung Periuk, Simfoni Bunga Tanjung, Joget Burung Merpati, Makan Sireh, Joget Wan Lebor dan Mak Inang Kayangan.

Semua lagu tersebut digubah khusus untuk persembahan orkestra oleh Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Teuku Umar dan Shahakam Mokhtar.

Konsert itu akan menampilkan gabungan artis veteran dan generasi baharu, iaitu Datuk Andre Goh, Zehra Zambri, Rojer Kajol, Hazra Dollah dan Danial Chuer.

Tiket konsert berkenaan dijual pada harga bermula RM179 hingga RM449.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI