CANNES, Perancis, 22 Mei – Bintang Hollywood dan pemenang Oscar, Jodie Foster, menyatakan bahawa beliau lebih gemar bekerja di luar Amerika Syarikat (AS), terutamanya di Eropah, kerana kebebasan berkarya dan peluang yang lebih baik untuk pengarah wanita.
Foster, 62, yang kini berada di selatan Perancis untuk tayangan perdana filem "A Private Life", sebuah thriller psikologi menampilkannya sebagai pakar psikiatri yang menyiasat kematian pesakitnya, lakonan Virginie Efira.
"Saya benar-benar menikmati pengalaman bekerja di luar Amerika Syarikat," kata Foster kepada Reuters ketika ditemui di sini pada Rabu.
Katanya, beliau kini lebih bebas bergerak selepas anak-anaknya meningkat dewasa, berbanding suatu ketika dahulu yang memerlukannya untuk menetap di AS demi keluarga.
Pelakon yang menggondol dua Anugerah Oscar menerusi filem "The Accused" (1989) dan "The Silence of the Lambs" (1992) itu turut berkongsi pengalamannya bekerja sebagai pengarah di Perancis.
Menurut Foster, bekerja di Perancis membolehkan beliau menikmati lebih banyak kebebasan daripada sudut kreatif, terutama apabila pengarah mahu mencampurkan pelbagai genre dalam sesebuah karya.
"Di Amerika, studio-studio besar mahu filem itu sama ada thriller atau komedi. Mereka tidak mahu menggabungkan kedua-duanya.
"Tetapi di Perancis, pengarah mempunyai lebih banyak kuasa untuk membuat keputusan," katanya.
"Sebab itulah pengarah-pengarah gemar datang ke sini," ujar Foster lagi.
Dalam masa sama, Foster turut menyentuh soal ketidakseimbangan jantina dalam industri perfileman Hollywood dan menyatakan bahawa beliau hanya pernah bekerja dengan seorang pengarah wanita sepanjang kerjayanya sebelum ini.
"Saya dah buat lebih 60 filem, tapi hampir tak pernah bekerja dengan wanita lain. Bukankah itu mengejutkan?" katanya.
Foster turut berkata, Eropah sudah lama mempunyai tradisi penerbitan oleh pengarah wanita, sesuatu yang menurutnya masih jauh ketinggalan di Amerika Syarikat.-REUTERS.