fb fb fb fb fb

Joey Daud kembali gegar muzik dengan “Wamwamsam”, lagu satira berjiwa wawasan

Joey Daud / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Pelakon dan pelawak berkarisma, Joey Daud kembali menyerikan industri muzik tanah air menerusi single terbaharunya berjudul Wamwamsam, yang dilancarkan secara rasmi pada 20 Mei lalu.

Lagu bergenre komedi pop rock eksperimental itu bukan sekadar hiburan biasa, sebaliknya membawa mesej mendalam tentang kepentingan wawasan dan pendidikan dalam membentuk jati diri serta masa depan individu.

Dengan irama rancak dan lirik sarat sindiran sinikal, Wamwamsam menyentuh isu sosial secara jenaka namun menyedarkan.

“Lagu ini saya hasilkan daripada pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan kenangan lama. Wawasan bukan sekadar kata, ia adalah panduan hidup. Wamwamsam mungkin kedengaran lucu, tapi maknanya mendalam,” kata Joey dalam satu temu bual.

Joey merupakan artis rakaman pertama di bawah label Luncai Emas Sdn Bhd milik Datuk M. Nasir pada tahun 1994.

Maka tidak hairanlah apabila Luncai Emas tampil semula untuk merealisasikan projek istimewa itu bersama barisan komposer muda seperti Ilham Nasir dan Hidayat Nasir, yang membawa nafas baharu melalui susunan muzik yang unik dan berani.

Menambah nilai pada lagu tersebut, segmen rap khas disumbangkan oleh A.D daripada kumpulan hip hop Sabah, Isohbatos.

Elemen bahasa Melayu Borneo yang dibawa A.D mencerminkan semangat kebangsaan dan penyatuan muzik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Bukan lagu untuk satu kawasan saja, ini lagu seluruh Malaysia,” ujar Joey. “Bila A.D masuk studio dan bawa gaya dia yang tersendiri, kami tahu lagu ini akan jadi sesuatu yang luar biasa.”

Video muzik rasmi Wamwamsam pula tampil dengan konsep sinematik ala filem pendek, menjadikannya sebagai teaser eksklusif kepada filem Daud M yang kini dalam pembangunan.

Filem tersebut adalah kesinambungan kepada watak ikonik Daud M yang pernah dilakonkan Joey dalam filem terakhir arahan Allahyarham Mamat Khalid.

Menariknya, video muzik dan filem itu diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada Allahyarham, yang meneruskan legasi bapanya dalam menyampaikan kisah rakyat secara lucu dan sinikal.

Kisah dalam video muzik memaparkan perjuangan seorang pelajar kampung yang berwawasan tinggi menentang kekangan sistemik demi ilmu dan perubahan.

Visual dramatik, suasana sekolah retro, serta sindiran sosial menjadikan ia satu karya yang mengundang tawa, air mata dan renungan mendalam.

Wamwamsam kini boleh ditonton di saluran rasmi YouTube Luncai Emas dan dijangka mencetuskan fenomena tersendiri.

Joey Daud membuktikan dirinya bukan sekadar pelawak atau pelakon, tetapi seorang seniman yang berani menembusi sempadan genre dan mengangkat seni sebagai medium kritikal untuk perubahan sosial.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN