KUALA LUMPUR, 17 Ogos - SelangorFM meraikan sambutan ulang tahun ke-35 dengan penuh meriah di Konti SelangorFM, Wisma Radio, Angkasapuri Kota Media.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Selangor, Norianti Nordin, sambutan kali ini bukan sekadar meraikan ulang tahun, tetapi juga menghargai sokongan berterusan pendengar yang menjadikan SelangorFM sebagai medium informasi, hiburan dan pendidikan utama di negeri itu.
“Ulang tahun ke-35 ini memberi makna besar kerana ia membuktikan SelangorFM terus relevan dan dekat di hati pendengar, selain menjadi wadah memperkukuh peranan stesen dalam era digital,” katanya.
Acara kemuncak sambutan akan dilaksanakan menerusi Konsert “Ini Jiwa Ini Identiti” khas buat pendengar setia. Konsert berkenaan disasar menarik kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 pengunjung di Stadium Kajang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Majlis turut menyediakan pengedaran sate percuma bagi memeriahkan acara.
Konsert tersebut akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, dan dimeriahkan oleh barisan artis popular termasuk Ifa Raziah dan Dato Leonard Tan.
Sambutan ulang tahun di konti turut diserikan dengan segmen Sembang Selebriti, acara simbolik memotong kek bernombor 35, serta penyertaan barisan DJ SelangorFM seperti DJ Aenren, DJ Abang Long, DJ Ida, DJ Cempaka, DJ Anne dan DJ Yuyui.