KUALA LUMPUR 17 Ogos - Seramai 12 peserta terpilih akan ke peringkat separuh akhir Bintang Klasik 2025 pada 23 Ogos ini, sebelum enam mara ke pentas akhir Bintang Klasik pada 27 September.
Penerbit Penyelaras, Maszuita Muamin berkata keputusan itu akan diumumkan secara langsung menerusi Radio Klasik 5.30 petang ini.
Selepas dua hari berlangsungnya saingan suku akhir di Auditorium P. Ramlee, Wisma Radio, seramai 30 peserta telah mempersembahkan bakat mereka dalam usaha merebut tempat ke peringkat seterusnya.
Pemilihan 12 peserta ini dibuat berdasarkan gabungan persembahan pada sesi pertama semalam dan sesi kedua hari ini.
"Untuk semalam, 15 peserta telah membuat persembahan, manakala hari ini pula adalah 15 peserta yang berbeza. Pengumuman nama peserta yang layak akan dibuat pada 5.30 petang secara langsung di Radio Klasik.
"Bagi peserta yang tidak hadir hari ini, pihak kami akan hubungi mereka melalui panggilan telefon, selain mereka juga boleh mengikuti pengumuman itu di Radio Klasik," katanya ketika ditemui semasa berlangsungnya persembahan suku akhir di sini hari ini.
Tambah beliau, persembahan separuh akhir itu akan disiarkan pada 19 September di TV2.
Selain wang tunai, juara Bintang Klasik 2025 juga bakal membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta tajaan NESQ.
Katanya pemilihan lagu pada peringkat suku akhir kali ini tidak ditentukan oleh peserta, sebaliknya ditetapkan melalui saringan panel pakar bersama pihak penerbitan sebagai cabaran tambahan untuk menguji keupayaan vokal mereka.