HULU KELANG, 16 Ogos – Seramai 200 artis veteran kini menikmati perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO, hasil kerjasama strategik antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA).
Menerusi inisiatif ini, penggiat seni bukan sahaja dilindungi di bawah Akta 789 (SKSPS PERKESO), malah berpeluang menyertai skim i-Saraan KWSP sebagai simpanan dan pelaburan jangka panjang demi masa depan mereka.
Artis legenda komedi, Abon, meluahkan rasa syukur atas usaha tersebut yang disifatkan memberi nafas baharu kepada artis veteran.
“PERKESO ini ibarat pohon rendang tempat artis berteduh. Selama ini jika berlaku kecederaan atau kecemasan, kami tanggung sendiri. Kini ada jaminan, kami boleh bekerja dengan hati lapang dan lebih tenang meninggalkan keluarga,” katanya.
Pelakon dan pelawak terkenal, Sulaiman Yassin atau Mat Over, pula menyifatkan skim ini sebagai bukti keprihatinan terhadap nasib artis.
“Bagus… program ini membela artis. Kalau berlaku kemalangan, sekurang-kurangnya dengan PERKESO ada perlindungan seperti insurans untuk diri kita,” ujarnya.
Sementara itu, artis legenda AR Badul, 75, menegaskan skim caruman tersebut memberi peluang sama rata kepada artis veteran yang berbeza kemampuan kewangan.
“Bagus juga ada caruman… maksudnya kita boleh simpan duit untuk sebarang kemungkinan, sama seperti orang biasa. Ada yang berkemampuan, ada yang tiada langsung simpanan. Jadi dengan adanya galakan ini, ia memang langkah baik,” katanya.
Menyentuh soal peluang lakonan, AR Badul secara berseloroh menerima hakikat bahawa artis veteran mungkin tidak lagi membawa watak utama.
“Saya tidak kisah kalau watak sekadar pemandu atau tukang buka pintu, asalkan semua yang terlibat berkualiti. Cuma bayaran biarlah setimpal,” katanya sambil ketawa.