KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Seramai 30 peserta dari seluruh negara terpilih ke peringkat suku akhir pertandingan Bintang Klasik 2025, hasil pemilihan daripada ratusan penyertaan uji bakat yang dijalankan di seluruh negara.
Pengurus Radio Klasik, Ku Mohamad Arafat Ku Mustafa, berkata penganjuran tahun ini menampilkan kelainan berbanding edisi terdahulu, apabila peringkat suku akhir diwujudkan buat julung kalinya. Ini berikutan sambutan luar biasa, terutama daripada golongan muda berusia antara 18 hingga 35 tahun.
“Pada sesi lepas, pertandingan terus ke separuh akhir, namun kali ini kita wujudkan peringkat suku akhir dengan 30 peserta. Daripada jumlah itu, hanya 12 akan dipilih ke separuh akhir pada 23 Ogos sebelum 6 terbaik mara ke pentas akhir Bintang Klasik pada 27 September,” katanya.
Beliau menambah, sebahagian besar peserta yang hadir uji bakat berusia antara 18 hingga 25 tahun dan mereka berjaya mempersembahkan lagu klasik dengan baik, sekaligus membuktikan genre malar segar itu terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Sidang media khas bagi mengumumkan finalis akan diadakan pada 3 September depan.
Ku Mohamad Arafat turut berharap pertandingan ini mampu menjadi platform melahirkan lebih ramai bakat muda berkualiti yang mampu memperjuangkan legasi lagu-lagu klasik dalam industri muzik tempatan.