fb fb fb fb fb

Andi Bernadee hadir dengan single terbaharu Siapakah Namamu

Penyanyi dan komposer, Andi Bernadee kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Siapakah Namamu / Foto UniversalMusic

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Penyanyi dan komposer, Andi Bernadee kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Siapakah Namamu, sebuah lagu yang mengangkat kisah indah tentang pertemuan cinta yang tidak diduga.

Single tersebut merupakan hasil kolaborasi mantap antara Andi, Kuizz, dan The T, dengan Kuizz bertindak sebagai penyusun muzik dan penerbit.

Menurut Andi, Siapakah Namamu membawa pendengar ke dalam detik pertama jatuh cinta, saat hati terpaut pada pandangan pertama dan timbul rasa ingin mengenali insan istimewa tersebut.

“Lagu ini menceritakan tentang seseorang yang menunggu kehadiran cinta. Akhirnya, cinta itu hadir di depan mata, mempesona dengan wajah ayu, cantik, dan jelita, lalu timbul keinginan untuk berkenalan,” ujar Andi.

Idea lagu itu bermula apabila Andi menerima melodi daripada The T. Bagi Andi,melodi tersebut terus ‘mengikat’ perhatiannya sebaik sahaja didengar.

“Saya tertarik dengan melodinya dan merasakan ada sesuatu yang istimewa. Sebelum ini, saya belum pernah mempunyai rentak seperti ini dalam discography saya,” jelasnya.

1608 PORTAL HBN ANDI BERNADEE SIAPAKAH NAMAMU 2Andi Azrul Andi Mapangile / Foto UniversalMusic

Bukan sekadar menyanyi, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile turut menyumbangkan idea dalam penulisan lirik bagi menambahkan sentuhan peribadinya.

“Saya mahu menyuntik elemen yang mencerminkan diri saya agar lagu ini benar-benar dekat di hati,” tambahnya.

Walaupun proses rakaman berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang panjang, anak kelahiran Kota Kinabalu itu mengakui lagu ini memerlukan ketelitian dari sudut teknik vokal.

“Melodinya kedengaran mudah, tetapi sebenarnya ia memerlukan kawalan vokal pada bahagian melodi yang naik dan turun. Keunikan melodi inilah yang menjadi kekuatan lagu ini,” katanya.

Andi turut memuji komitmen rakan kolaborasi seperti Kuizz dan The T yang menjadi tulang belakang penghasilan Siapakah Namamu. “Mereka adalah orang-orang kuat di sebalik lagu ini.

Saya berterima kasih kerana mereka menjalankan tugas dengan baik. Tidak ada masalah untuk saya bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” kata Andi.

Bagi Andi, lagu itu tidak memerlukan pendengar untuk terlalu ‘mendalami’ liriknya.

“Pasang saja lagu ini ketika anda sedang dilamun cinta dengan seseorang yang baru anda kenali. Anda akan faham perasaannya,” ujarnya.

Siapakah Namamu kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama 15 Ogos, dan muzik video juga akan ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Andi Bernadee.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN