fb fb fb fb fb

RIM umum lima finalis bagi 26 kategori AIM24

Sidang media mengumumkan lima finalis AIM24 bagi 26 kategori yang dipertandingkan.

KUALA LUMPUR, 15 Ogos - Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24) memasuki fasa kemuncak apabila Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan lima finalis bagi 26 kategori yang dipertandingkan.

Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, sebanyak 130 nama disenarai pendek hasil pemarkahan juri profesional yang diaudit firma Mazars, manakala pengurusan penjurian dikendalikan badan bebas Macomm Management Services Sdn Bhd.

Beliau turut menyatakan rasa teruja apabila senarai kali ini menampilkan gabungan artis ternama dan bakat baharu yang semakin menyerlah.

Menerusi dana Kementerian Komunikasi melalui MyCV, 11 pemenang terpilih akan menerima dana bagi menghasilkan kandungan muzik berkualiti tinggi. Kategori ‘Album Terbaik’ menawarkan RM200,000 manakala 10 kategori lain, termasuk ‘Artis Baru Terbaik’ dan ‘Lagu Etnik Terbaik’, masing-masing menerima RM50,000.

Antara calon ‘Album Terbaik’ ialah Dayang Nurfaizah (Janji dan Berlagu²), Aina Abdul (Imagi dan Imagi Deluxe Edition) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza (Sitism). Kategori ‘Artis Baru Terbaik’ pula menampilkan Erika Foo, Intan Maya, Koi, Ryenald Guntabid dan Xone.

Malam kemuncak AIM24 berlangsung pada 13 September di Arena of Stars, Genting Highlands, disiarkan secara langsung di TV2 dan RTM Klik mulai 9 malam, dengan acara karpet merah pada 8 malam.

Secara keseluruhan, AIM24 mempertandingkan 30 kategori termasuk empat kategori baharu iaitu ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik’ dan ‘Kugiran Terbaik’.

Turut hadir pada sidang media, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman, wakil Kementerian Komunikasi, Samsung Malaysia Electronics, Resorts World Genting, MyCreative Ventures, serta barisan Ahli Lembaga Pengarah RIM dan finalis AIM24.

TUN JULIA MOHD TAHIR