fb fb fb fb fb

'Selampai Labung' kisah pua kumbu kaum Iban pada 14 Sept ini di RTM

'Selampai Labung' menampilkan pelakon terkenal seperti Johan As’ari mengadakan penggambaran di sebuah rumah panjang di Sarawak/Foto UDTV RTM

KUALA LUMPUR, 6 September – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menayangkan telefilem bertajuk 'Selampai Labung' bersempena Hari Malaysia pada 14 September ini.

Telefilem 'Selampai Labung' karya Unit Drama TV (UDTV) RTM ini akan disiarkan dalam slot Panggung RTM pada pukul 9.00 malam di saluran TV1 dan RTMKlik.

Karya arahan Danny Alamsyah menampilkan pelakon terkenal dari semenanjung dan juga tempatan seperti seperti Johan As’ari, Dewi Seriestha, Samarinna, Tolhip, Wily Alfred, Tony Eusoff, dan Sherie Merlis.

Penggambaran dijalankan di Sarawak dari 16 hingga 31 Julai lalu, membawa penonton mengenali warisan seni tenunan pua kumbu yang menjadi kebanggaan masyarakat Iban.

Kisah ini mengikuti watak Elvina dan Sunan yang terikat dengan warisan dan tradisi pua kumbu, yang berdepan ancaman kepupusan.

"Menariknya kerana telefilem ini mengajak penonton mengenali warisan pua kumbu, seni tenunan tekstil istimewa masyarakat Iban yang dikekalkan sehingga kini.

"Cerita Selampai Lambung tentang Elvina dan Sunan, dua insan dengan latar berbeza yang bertembung kerana terikatnya mereka dengan warisan, budi, dan harapan.

"Elvina adalah pewaris kepada Enny, seorang wanita penting (Indu Ngar) di Nanga Krau. Elvina telah meninggalkan rumah panjang di Nanga Krau selama bertahun-tahun, dan kepulangannya ke sana adalah kerana kepentingan atau urusan peribadinya yang perlu diselesaikan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

0609 SELAMPAI LABUNG 2Penggambaran dijalankan di Sarawak dari 16 hingga 31 Julai lalu

Majlis pratonton telefilem ini telah berlangsung di Wisma TV Angkasapuri baru-baru ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN