fb fb fb fb fb

Karya seni batik Lee Long Looi dipamerkan di Balai Seni Pulau Pinang

Pameran seni bertemakan batik "Mengenang Lee Long Looi 1941 - 2023" sedang berlangsung di Dewan Sri Pinang, George Town sehingga 19 September ini.

GEORGE TOWN, 7 September – Pameran seni bertemakan batik "Mengenang Lee Long Looi 1941 - 2023' menonjolkan karya-karya yang memperingati seni dan kejayaan pelukis tersohor itu.

Pameran itu sekali gus memberi sumber inspirasi kepada generasi pelukis muda untuk terus mengembangkan kesenian batik ke peringkat yang lebih tinggi.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, berkata pameran itu bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pelukis muda agar mempelajari semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh mendiang Lee dalam memperkenalkan seni batik.

“Walaupun beliau telah meninggal dunia, pameran ini diadakan supaya pelukis-pelukis muda dapat mempelajari semangat beliau, bagaimana beliau boleh menjadi terkenal di perantauan," katanya ketika merasmikan pameran tersebut di Balai Seni Lukis Pulau Pinang.

Mendiang Lee Long Looi, yang berasal dari Pulau Pinang, berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa dengan karya-karya batiknya.

Sepanjang kehidupan mendiang dahulu, Long aktif mengadakan pameran di Amerika Syarikat termasuk di New York, Los Angeles, Miami, dan Las Vegas.

Pameran diadakan secara percuma, memberi peluang kepada orang ramai untuk menghargai warisan seni batik yang telah ditinggalkan oleh mendiang Lee.

Pameran seni bertemakan batik "Mengenang Lee Long Looi 1941 - 2023" sedang berlangsung di Dewan Sri Pinang, George Town sehingga 19 September ini.

Pameran itu dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama keluarga serta peminat mendiang, sebagai penghormatan kepada usaha beliau yang berjaya membawa kesenian batik ke persada antarabangsa.

GRACE AISYAH KEDAYAN