KUALA LUMPUR, 10 Mac- Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memukau lebih 10,000 penonton menerusi Konsert 'Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza' yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert itu menelusuri perjalanan karier seninya yang sudah 28 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.
Pemilik nama Siti Nurhaliza itu menghiburkan semua peminatnya dengan menyanyikan rangkaian 36 buah lagu popular dalam konsert selama tiga jam.
Konsert tersebut dimulakan dengan lagu Lebih Indah yang mendapat sorakan daripada peminatnya selepas kali terakhir mengadakan konsert di Axiata Arena pada empat tahun lalu iaitu tahun 2019 menerusi Siti Nurhaliza On Tour (SNOT).
Antara lagu lain yang turut disampaikan ialah Sehebat Matahari, Salju Kasihnya, Usah Diragui, Oda Di Bumi Anbia dan Aku Bidadari Syurgamu.
Keampuhan vokal anak kelahiran Pahang itu juga tidak boleh disangkal kerana masih mampu mebuai halwa telinga penonton berserta persembahan bertenaga di pentas mega dengan iringan barisan pemuzik yang diketuai Aubrey Suwito.
Pada malam konsert berkenaan, Siti turut berduet bersama-sama penyanyi terkenal Indonesia, Judika menerusi lagu Dirgahayu dan Seluruh Cinta.
Judika turut diberikan satu segmen solo sebagai elemen kejutan buat peminatnya.
Pada malam itu juga, Siti turut mengundang Syamel secara spontan untuk turut berpadu suara dengan menyanyikan lagu Jikalau Berkasih.
Konsert anjuran Yayasan Nurjiwa, sebuah pertubuhan amal yang diasaskan bersama-sama suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa adalah untuk membantu rakyat Palestin.
Sementara itu sebahagian daripada kutipan jualan tiket, akan disalurkan kepada Sekolah Afwa Al-Afiyah di Gaza yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu.
Antara rakan artis yang turut menyokong konsert 'Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza' ialah Syamel, Ernie Zakri, Jaclyn Victor, Hael Husaini dan Aisha Retno.