KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Penyanyi dan penulis lagu Indonesia yang kini aktif membina karier di Malaysia, Allan Andersn, tampil dengan single terbaharu berjudul 'Seakan Ku Tak Ada'.
Menurut Allan, lagu yang mengangkat tema perasaan diabaikan dalam sebuah hubungan, diinspirasikan daripada kisah seorang teman rapatnya.
“Inspirasi saya menulis Seakan Ku Tak Ada sebenarnya datang daripada kisah seorang teman yang sering merasakan seolah-olah pasangannya tidak menghargai kewujudannya.
"Cerita ini sangat dekat dengan ramai orang kerana kebanyakan daripada kita pernah berada dalam situasi sebegitu, mencintai seseorang sepenuh hati, namun tidak menerima balasan yang sama. Untuk meneruskan hubungan terasa melelahkan, tetapi apabila mahu mengakhiri, masih wujud rasa cinta,” jelasnya.
Tambahnya, mesej yang ingin disampaikan melalui lagu tersebut sangat jelas tentang kepentingan menghargai dalam sesebuah hubungan.
“Kehadiran kita dalam hubungan wajar dihargai. Lagu ini menjadi peringatan bahawa jika ada pendengar yang pernah merasakan diri mereka ‘tidak dianggap’, ketahuilah bahawa mereka tidak keseorangan. Ramai yang pernah melalui pengalaman tersebut,” katanya.
Ketika ditanya pemberita RTM tentang bakatnya dalam menghasilkan lagu, beliau menyifatkan bakat menulis dan mencipta melodi sebagai satu anugerah besar yang amat dihargai.
“Saya sangat bersyukur kerana Tuhan mengurniakan anugerah ini, dapat menulis lagu, menyampaikan cerita melalui melodi. Setiap kali saya menyanyi, saya terlalu terbawa emosi, terus teringat kembali kenangan lama.
"Pernah ketika sebuah persembahan showcase, saya hampir menitiskan air mata di atas pentas kerana terlalu hanyut dengan suasana,” katanya.
Dalam pada itu, Allan turut berkongsi bahawa karya ciptaannya kini turut mendapat perhatian daripada artis tempatan.
“Setakat ini, rakan-rakan di Malaysia memang menggemari karya saya. Malah, ada juga nama-nama besar yang meminta saya menulis lagu untuk mereka. Itu satu kebahagiaan, namun pada masa sama merupakan satu tanggungjawab.
"Saya mahu pastikan karya saya bukan sekadar enak didengar pada masa sekarang, tetapi juga kekal relevan dan indah untuk 10 tahun akan datang. Seni muzik ini bersifat abadi, biarpun kita sudah tiada, karya itu tetap hidup,” jelasnya.
Mengenai single terbaharunya, Allan berharap single terbaharunya 'Seakan Ku Tak Ada' mampu menyentuh hati pendengar serta memberi ruang untuk mereka lebih dekat dengan kisah yang disampaikan melalui lagu tersebut.
“Harapan saya, 'Seakan Ku Tak Ada' dapat didengar oleh ramai orang dan disukai. Lagu ini sebenarnya mengangkat situasi apabila seseorang tidak mahu kehilangan kita, namun dalam masa sama dia berbohong dan mengkhianati kita. Saya rasa ramai pernah melalui perkara itu. Jadi, kalau ada yang sedang berduka atau galau, bolehlah dengar lagu ini,” katanya menutup bicara.
Lagu 'Seakan Ku Tak Ada' serta album penuh dear aa kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama.