fb fb fb fb fb

'Saya bekerja bukan untuk anugerah' - Beto Kusyairy

Beto menjadi pilihan juri untuk dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik Festival FFM menerusi filem Imaginur

KUALA LUMPUR, 15 Disember  – "Saya bekerja bukan untuk anugerah, sebaliknya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sehabis baik," ujar pelakon Beto Kusyairy apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 baru-baru ini.

Beto, atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, menyifatkan anugerah tersebut sebagai bonus dan penghargaan atas dedikasinya terhadap setiap tanggungjawab yang diamanahkan.

"Saya memang dah dididik diri saya daripada dulu, saya bekerja bukan untuk anugerah. Saya buat apa yang saya suka, bagi sehabis baik tiap tanggungjawab yang diberikan pada saya.

"Anugerah yang dapat tu, Alhamdulillah, suatu penghargaan dan boleh saya katakan bonus sebab orang bagi, dan selebihnya saya akan tetap jadi sama seperti dulu, buat sehabis baik," kongsi beliau ketika ditemui RTM baru-baru ini selepas pratonton filem Reversi di ibu negara.

Beliau mengakui kejayaan ini adalah hasil kerja berpasukan yang banyak membantu.

Pencapaian ini diraih Beto menerusi lakonannya dalam filem Imaginur, yang membuktikan keupayaannya membawa watak dengan penuh komitmen dan dedikasi.

GRACE AISYAH KEDAYAN