fb fb fb fb fb

RTM tampilkan telefilem loghat Terengganu, "Along Bakal Mati Syawal Ini?"

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan telefilem khas bertajuk "Along Bakal Mati Syawal Ini?" arahan Erfan Zainaldin, menjelang Aidilfitri.

Mengisi slot Panggung RTM, telefilem yang menggunakan loghat Terengganu itu menonjolkan tema kasih sayang antara adik-beradik selepas pemergian ibu bapa mereka.

Telefilem berkenaan diharap dapat memberikan keinsafan serta pengajaran tentang pentingnya hubungan kekeluargaan yang tidak seharusnya terputus walau apa jua rintangan.

"Telefilem ini mengisahkan Manaf, seorang pembuat wau yang tinggal bersendirian di kampung setelah kehilangan ibu bapa sejak muda. Dua adiknya, Zahir dan Fatin, yang masing-masing sudah berkeluarga dan menetap di Kuala Lumpur, jarang pulang ke kampung akibat perselisihan lama.

Manaf sering mengadu kesunyian kepada sahabatnya, Tok Lang, yang hidup sebatang kara. Tok Lang menasihatinya agar menghargai kewujudan adik-beradiknya dan mencadangkan satu cara untuk menyatukan mereka kembali demi menyambut Syawal bersama. Namun, adakah rancangan Tok Lang berjaya?," kata kenyataan dikeluarkan RTM.

Barisan pelakon berpengalaman menerajui telefilem tersebut antaranya Wan Hanafi Su, Mat Over @ Sulaiman Yasin, Jalil Hamid, Datin Fadilah Mansor, Farah Ahmad dan Che Kem.

Ia akan ditayangkan pada 31 Mac ini, pukul 9.00 malam di TV1 dan boleh ditonton secara dalam talian menerusi aplikasi RTMKlik.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM