fb fb fb fb fb

RTM Sarawak lancar lagu baharu

Wan Azhan berkata lagu dengan elemen moden dan tradisional tersebut menjadi mekanisme kebersamaan di negeri tersebut.

KUCHING, 8 Februari- Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak melancarkan lagu baharunya iaitu RTM Sarawak Untuk Semua, hari ini.

Pengarah Penyiaran Sarawak, Wan Azhan Wan Hamat berkata lagu dengan elemen moden dan tradisional tersebut menjadi mekanisme kebersamaan di negeri tersebut.

"Jadi saya berharap lagu ini bukan sahaja menjadi kebanggaan untuk RTM Sarawak, tetapi kalau boleh ia menjadi lagu kebanggaan seluruh rakyat Sarawak juga bersempena 70 tahun radio Sarawak, ini menjadi buah tangan kami kepada masyarakat negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Dwi Bulanan RTM Sarawak di Auditorium P. Ramlee, RTM Sarawak, di sini.

Tambahnya, idea penulisan lirik lagu berkenaan diambil daripada misi dan visi RTM Sarawak serta turut menggunakan bahasa setiap kumpulan etnik di negeri itu.

Lagu berkenaan ciptaan komposer Ahli Muzik Seksyen Hiburan dan Muzik RTM Sarawak, Marvin Jong dan lirik ditulis penyanyi undangan, Mohd Shahbani Faizu.

Ia dinyanyikan kakitangan RTM Sarawak iaitu Jeffrey Jack, Felicia Gek dan Marvin Jong bersama-sama penyanyi undangan iaitu Mal Imran, Claudia Geres, Mohd Shahbani, Shann Liaw serta diiringi pemuzik RTM Sarawak dan Juara Sape Junior 2023, Federick Maldini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM