fb fb fb fb fb

Animasi “RoboZeta” kembali, papar kisah teladan

Grafik RTM

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Siri animasi 3D genre aksi komedi, “RoboZeta” kembali untuk musim ke-2 dengan paparan jalan cerita lebih menarik, menerusi siaran di TV Okey, RTM.

Program animasi terbitan syarikat tempatan Red Circle Studio itu, bukan sekadar hiburan untuk kanak-kanak, tetapi turut menyelitkan kisah teladan dalam setiap episod sekali gus menjadikan tontonan anak-anak lebih bermanfaat, khususnya pada musim cuti persekolahan yang bermula Sabtu ini.

Selain sebagai ruang masa untuk riadah, hiburan dan ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak, program animasi itu juga membuktikan kemampuan anak tempatan dalam menghasilkan animasi bermutu dan berkualiti.

RoboZeta mengetengahkan lima adiwira comel iaitu Riko yang meminjam suara Raff Samad, Jango (Nur Liyana), Bepop (Muhd Fahrullah), Ely (Wan Nur Hidayah) dan Rexx (Sham Along).

Sebagai satu pasukan mereka berusaha untuk melindungi bandar Zetania dan Cip A.I Zemo daripada ancaman musuh dikenali sebagai Geng Kalabera dan Big Boss Omega.

Robozeta musim ke-2 memaparkan 13 episod disiarkan pada setiap Sabtu dan Ahad, pukul 6.00 petang di TV Okey; mula bersiaran sejak 3 Februari lalu.

Selain tontonan secara konvensional, penonton boleh menyaksikannya menerusi penstriman langsung secara percuma di RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).

MAT YUNUS BIN SABRI