KUALA LUMPUR, 7 Jun – Selepas mencipta fenomena dengan kehadiran lebih 12,000 peminat di Indonesia Arena, Jakarta menerusi konsert Here I Am, penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa, kini bersedia mengulangi magis yang sama di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun ini.
Konsert mega itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Rossa sebagai penghibur unggul, malah menjadi tanda penghargaan buat peminat setia di Malaysia – negara kedua yang menjadi saksi penting dalam perjalanan seninya selama hampir tiga dekad.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hidup dan kerjaya saya. Di sinilah karier nyanyian saya berkembang dan nama Rossa dikenali dalam kalangan pencinta muzik serantau. Here I Am bukan sekadar konsert, ia adalah hadiah cinta saya kepada peminat Malaysia,” ujar Rossa.
Sebelum ini, pada 23 Mei lalu, konsert Here I Am di Jakarta berlangsung selama lebih dua jam dengan lebih 25 lagu ikonik dipersembahkan seperti Tegar, Hati Yang Kau Sakiti, Terlalu Cinta, Pudar dan Aku Bukan Untukmu.
Di Kuala Lumpur, Rossa bakal disertai dua bintang undangan khas iaitu Hael Husaini dan The Ladies – kumpulan vokal yang dianggotai bintang Indonesian Idol: Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla.
“Saya sangat menghormati bakat luar biasa Hael. Setiap bait lagu yang dinyanyikan Hael mempunyai rasa yang mendalam. Kami akan tampilkan persembahan eksklusif buat penonton Malaysia.
"The Ladies pula simbol kekuatan wanita Nusantara, dan saya percaya penonton akan dapat merasai indahnya sokongan antara wanita dalam muzik,” tambah Rossa.
Lebih istimewa, konsert kali ini turut menampilkan barisan sahabat dan rakan seni terdekat Rossa seperti Ariel Noah, yang akan berduet bersama beliau dalam segmen istimewa, selain penampilan Ernie Zakri, MK K-Clique, dan DJ serta produser muzik Dipha Barus yang bakal memberikan sentuhan kejutan dan dinamik.
Turut diraikan ialah Top 4 One In A Million – Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen – sebagai pengiktirafan terhadap bakat baharu tempatan dan simbol penyatuan generasi seni melalui muzik.
Konsert Here I Am dijangka menjadi malam penuh emosi, menggabungkan suara, cerita dan persahabatan, serta menawarkan kenangan manis yang menyentuh jiwa para peminat.
Acara itu dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production, dengan kerjasama promosi serta pemasaran oleh Sah Entertainment.
Tiket konsert bermula dari RM228 (Festival) hingga RM788 (Diamond Center) tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran. Pembelian boleh dibuat menerusi platform www.ticket2u.com.my.
Untuk pembelian tiket korporat, orang ramai boleh menghubungi talian 019-288 9764 atau e-mel ke