fb fb fb fb fb

13 hari tayangan, Ejen Ali The Movie 2 raih kutipan lebih RM40 juta

Foto FB Primeworks Studios - Film

CYBERJAYA, 6 Jun- Filem animasi, Ejen Ali The Movie 2 mencatat kutipan melebihi RM40.6 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata pencapaian itu menjadi penanda aras baharu bagi filem animasi tempatan.

Ia juga membuktikan keupayaan studio animasi Malaysia dalam menghasilkan kandungan berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa.

"MDEC berbangga dapat menyokong kejayaan ini menerusi Geran Kandungan Digital (DCG) yang bertujuan mempercepatkan pertumbuhan kandungan digital berkualiti tinggi dan berdaya eksport.

"Ejen Ali kini menjadi simbol kebanggaan kepada keunggulan penceritaan Malaysia dan pendorong kepada generasi baharu," katanya menerusi kenyataan.

Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin berkata kejayaan yang diperolehi itu adalah untuk seluruh industri animasi tempatan.

"Terima kasih kepada MDEC kerana mempercayai bakat tempatan kami. Kami amat menghargai segala sokongan dan bimbingan. Saya berharap ini akan membuka lebih banyak peluang kepada studio dan pencipta lain di luar sana," katanya.

Pencapaian itu selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) yang menggariskan perjalanan Malaysia menjadi hab digital kreatif global menjelang 2030.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM