fb fb fb fb fb

Rengkuh saji kisah menyentuh jiwa

Pengarah telefilem Rengkuh, Danny Alamsyah / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan sebuah telefilem menyentuh hati berjudul "Rengkuh", yang membawa penonton menyelami nilai kasih sayang dan ketabahan dalam institusi kekeluargaan.

Menurut pengarahnya Danny Alamsyah, tajuk Rengkuh dipilih kerana ia membawa simbol mengikat nilai kasih sayang dalam keluarga.

"Tajuk Rengkuh ini saya pilih kerana ia adalah satu bentuk metafora ataupun simbol bagi mengikat jalinan ukhwah dalam kalangan keluarga.

"Sebab kita dalam keluarga ini ada pelbagai jenis manusia. Jadi Rengkuh itulah saya gunakan sebagai simbolik kepada mesej utama yang saya nak sampaikan dalam cerita ini", katanya.

Telefilem Rengkuh mengisahkan Nadhiyar, yang menjadi pelindung kepada adiknya, Nadirah, sejak kecil. Namun, satu kemalangan yang menimpa Nadhiyar mencetuskan pelbagai konflik yang menguji kekuatan dan keutuhan keluarga mereka.

Tambah Danny, meskipun tema yang diketengahkan agak berat, jalan ceritanya disusun dengan naratif ringan dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Rengkuh menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aidil Aziz, Ezzaty Abdullah, Azizah Mahzan, Ruzaidi, dan Azman Hassan, menjadikannya antara naskhah yang dijangka memberi impak emosi kepada penonton.

Telefilem tersebut turut digarap dengan pendekatan visual yang lembut, serta sinematografi yang mencerminkan suasana desa yang mendamaikan – selari dengan nada emosi yang dibawa, sekali gus menerima maklum balas positif daripada pengamal media dan panel jemputan pratonton. yang hadir pada pratonton hari ini.

"Rengkuh" akan disiarkan pada 14 Jun 2025, pukul 9.00 malam di TV1.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD