fb fb fb fb fb

"Kisah Penuh Kecewa" gabungkan Ernie Zakri dan Anggi Marito

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Jun- Penyanyi terkenal tanah air, Ernie Zakri, berkolaborasi bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito, menerusi single terbaharu berjudul "Kisah Penuh Kecewa".

Lagu tersebut dipersembahkan buat pertama kali secara langsung menerusi konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang berlangsung pada 31 Mei lalu di Singapura.

Menurut Ernie, lagu itu menyampaikan mesej tentang ketabahan dan kekuatan untuk terus melangkah.

"Lagu ini mengisahkan perpisahan yang bukan berpunca daripada hilangnya cinta, sebaliknya kerana keputusan untuk tidak lagi bersama," katanya kepada RTM.

Ernie turut menegaskan bahawa walaupun mereka berasal dari dua negara berbeza, kolaborasi tersebut membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan.

Gabungan vokal yang unik serta penyampaian emosi yang tulus menjadikan lagu itu sarat dengan makna dan penuh penghayatan.

"Liriknya sangat jujur dan terus terang. Saya percaya ramai yang akan mudah memahami serta mengaitkan diri dengan mesej yang disampaikan. Bagi yang pernah melalui pengalaman serupa, lagu ini mungkin boleh menjadi teman," tambah Ernie.

Sementara itu, Anggi menyifatkan peluang berkolaborasi dengan Ernie sebagai satu penghormatan besar.

"Saya sudah lama mengagumi suara Ernie. Ernie bukan sahaja memiliki vokal yang mantap, tetapi juga mampu menyampaikan rasa yang menyentuh hati. Saya rasa sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Ernie," katanya.

Lagu "Kisah Penuh Kecewa" kini tersedia di semua platform penstriman digital sejak 23 Mei lalu.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM