fb fb fb fb fb

Rekod 'catwalk' tertinggi dalam busana tradisional bakal dicipta

Rekod 'catwalk' tertinggi dalam busana tradisional bakal dicipta./Foto Miss & Mrs Majestic International 2025

GENTING HIGHLANDS, 24 Mei - Malaysia bakal mencipta sejarah tersendiri menerusi penganjuran pertandingan ratu cantik berprestij, Miss & Mrs Majestic International 2025 di puncak Genting Highlands, Ogos depan.

Pertandingan yang menghimpunkan peserta dari lebih 30 negara ini bukan sahaja menonjolkan keanggunan dan keyakinan wanita dari seluruh dunia, bahkan turut menjulang martabat batik tempatan ke persada antarabangsa.

Pengasas dan penganjur pertandingan, Huda Hassan berkata, acara itu bertujuan memperkasa industri batik tempatan, meraikan kepelbagaian budaya serta menyumbang kepada sektor pelancongan negara.

“Pertandingan ini lebih daripada sekadar menobatkan ratu. Ia adalah satu gerakan budaya yang mengangkat keyakinan dan kekuatan dalaman wanita,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, antara detik yang paling dinanti-nantikan ialah usaha mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records bagi kategori 'Catwalk Tertinggi Dalam Busana Tradisional' yang bakal diadakan di Hoverland Genting Highlands.

Hoverland yang terletak pada ketinggian 6,106 kaki turut dikenali dengan dua rekod sedia ada iaitu Highest Altitude Observation Deck dan Highest Altitude Building-Edge Skywalk. Keindahan panorama Banjaran Titiwangsa menjadi tarikan utama pelancong di lokasi ini.

Catwalk berbusana batik yang bakal berlangsung di Hoverland bukan sahaja mempamerkan estetika tradisional, bahkan mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan wanita moden.

 

MOHAN CHINNASAMY