fb fb fb fb fb

‘Puteri Membara Malaysia’, kostum rekaan pereka RTM bakal digayakan di Mrs World 2024

Saran (kiri) bersama Mrs Malaysia 2024 Dr Shalini Devi Ramachandran yang menggayakan kostum kebangsaan 'Puteri Membara Malaysia'

KUALA LUMPUR, 12 Januari- Pereka busana RTM, Saran Lagong sekali lagi mencipta sensasi apabila muncul dengan rekaan kostum kebangsaan 'Puteri Membara Malaysia' yang akan digayakan oleh Mrs Malaysia World 2024 Dr Shalini Devi Ramachandran pada pertandingan Mrs World 2024 yang akan berlangsung pada penghujung bulan ini di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Kostum yang menampilkan trail (ekor) sepanjang 121 meter itu mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai trail terpanjang pernah dicipta bagi kostum kebangsaan.

Saran ketika dihubungi memaklumkan kostum tersebut mengambil masa dua minggu untuk disiapkan, menggandingkan motif batik tradisional dan songket dengan elemen artistik kontemporari, menyerlahkan kekayaan budaya Malaysia dan kecemerlangan kreativiti.

Selepas mengungguli 'Most Original Costume' edisi lalu, pereka berusia 46 tahun itu turut menyimpan impian untuk sekali lagi meraih gelaran sama kali ini menerusi ‘Puteri Membara Malaysia’.

"Kostum ‘Puteri Membara Malaysia’ adalah diinspirasikan daripada busana puteri versi moden, yang mempunyai semangat dan iltizam yang jitu persis api yang membara.

"Ini adalah kali ketiga berturut-turut rekaan saya dipilih untuk digayakan oleh Mrs World Malaysia ke Las Vegas. Tahun lalu, rekaan kostum wau bulan gergasi mendapat tempat di hati juri.

"Saya tidak meletakkan harapan setinggi gunung untuk edisi kali ini, cukuplah supaya rekaan saya diterima ramai dan hasrat untuk membawa budaya Malaysia ke mata dunia tercapai. Saya juga ingin buktikan yang bakat dalam sektor penjawat awam juga setanding pereka profesional," katanya.

Busana tersebut turut mengetengahkan motif batik tradisional dan songket dengan elemen artistik kontemporari, menyerlahkan kekayaan budaya Malaysia dan kecemerlangan kreativiti.

Dua tahun lalu, Saran mereka kostum kebangsaan yang dihiasi dengan jumlah syiling lima sen terbanyak sebanyak 10,000 keping digayakan Olivia Nicholas, yang mewakili Malaysia di pertandingan Mrs World 2022 manakala tahun lalu, rekaan wau bulan gergasi yang digayakan Mrs Malaysia World, P. Vanishaantini, berjaya meraih anugerah 'Most Original Costume' sekali gus turut menduduki tempat keenam keseluruhan.

Memetik laporan Bernama, Pengarah Kebangsaan Mrs Malaysia World Sdn Bhd Datin Harveen Kaur berkata, rona merah dan hitam pada kostum ‘Puteri Membara Malaysia’, mencerminkan kekuatan semangat dan ketabahan wanita Malaysia, sambil pada masa sama, memberi penghormatan kepada warisan budaya Malaysia.

Tambah beliau, warna merah juga melambangkan perpaduan, cinta dan keazaman, manakala hitam menggambarkan keanggunan, kekuatan dan kewibawaan, iaitu ciri-ciri yang mendefinisikan wanita Malaysia.

Pertandingan Mrs World 2024 dijadualkan berlangsung dari 29 hingga 30 Januari ini dan Dr Shalini, 37, akan tampil dengan fesyen lestari merangkumi tiga busana yang dihasilkan daripada beberapa helai sari dan gaun vintaj berusia lebih 30 tahun serta bahan-bahan kitar semula.

 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE