KUALA PILAH, 14 Januari- Konsert Xpresi Dirgahayu 2.0 sempena Hari Keputeraan Ke-77 Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, merupakan platform bagi Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan (NEGERIfm) melaksanakan program bersama-sama komuniti setempat.
Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Suhana Suratman berkata, program yang menjadi acara kemuncak pada setiap tahun itu dapat menghimpunkan masyarakat setempat untuk meraikan Hari Keputeraan Ke-77 Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
"Kita dapat satu platform yang sangat penting iaitu di mana perayaan hari keputeraan ini biasanya diraikan seluruh rakyat di Negeri Sembilan.
"Jadi sebagai jabatan yang berperanan untuk mendekati komuniti setempat, ini adalah ruang dan peluang kepada kita untuk menunjukkan kepada masyarakat selain menjalankan peranan sewajarnya," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Konsert Xpresi Dirgahayu 2.0, di Padang Awam Seri Menanti, di sini.
Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir turut berkenan mencemar duli ke konsert berkenaan.
Turut berangkat sama, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al'Abidin Ibni Tuanku Muhriz.
Antara artis yang membuat persembahan ialah Tomok, Hael Husaini, Liza Hanim, Suki Lo, Waris dan Santesh.