KUALA LUMPUR, 10 Januari- Penyanyi Mandopop legenda Taiwan, Chyi Yu yang dikenali sebagai “Voice of an Angel”, bakal membuat penampilan pertama di Malaysia selepas hampir tujuh tahun.
Keunikan suaranya yang lembut dan harmoni yang memadukan elemen muzik folk, klasik dan pop telah meninggalkan kesan mendalam dalam industri Mandopop sejak beliau menyinar pada tahun 1979.
Chyi bakal mengadakan konsert solo "Chyi Yu Forever Splendor 2025" yang akan berlangsung pada 26 April (Sabtu) di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert tersebut dianjurkan SunStrong Entertainment, menjanjikan perjalanan nostalgia dengan dendangan hits popular antaranya The Olive Tree (Gǎn Lǎn Shù), The Bird and The Fish (Fēi Niǎo Yǔ Yù), Smiling Face (Huān Yán) dan banyak lagi.
Peminat juga bakal menikmati persembahan lagu-lagu bahasa Inggeris seperti Stories dan Angel.
Sepanjang kariernya yang gemilang, Chyi Yu telah menerima penghargaan tertinggi seperti Golden Melody Awards dan Top Ten Chinese Gold Songs Award.
Penyertaannya dalam rancangan realiti kembali meraih perhatian, dengan setiap persembahan yang dipamerkan cukup penuh emosi selain memperkukuh statusnya sebagai ikon seni muzik.