KUALA LUMPUR, 5 Julai– Penyanyi remaja berusia 14 tahun, Putera Bobo atau nama sebenarnya Putera Shah Nasratullah Mohd Nasran, mencuri perhatian apabila single sulungnya bertajuk “Korban Rindu” tersenarai dalam ‘Top 20 Trending YouTube Malaysia’ hanya 24 jam selepas dilancarkan pada 2 Julai 2025.
Putera Bobo mula dikenali menerusi video TikTok tular yang memaparkan beliau menyanyikan lagu Korban Perceraian, sehingga meraih lebih 5 juta tontonan.
Persembahannya yang menyentuh emosi menarik perhatian ramai sehingga beliau berjaya menjalani rakaman lagu sulungnya pada Jun lalu.
Ibunya, Elyani, menyatakan rasa syukur kerana anak ketiganya daripada lima beradik itu diberi peluang mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian.
"Putera telah menunjukkan minat menyanyi sejak di bangku sekolah rendah lagi, aktif dalam kumpulan nasyid dan sering mengiringi ayahnya yang terlibat dengan kumpulan dikir barat.
"Semua anak saya berbakat dalam nyanyian, tetapi rezeki lebih menyebelahi Putera. Putera gemar menyanyikan lagu-lagu berunsur balada dan emosi seperti nyanyian Lesti Kejora dari Indonesia," katanya menerusi kenyataan.
Pertemuan yang diatur oleh Molek FM menemukan Putera Bobo dengan komposer terkenal, Eddie Hamid, yang kemudiannya menghasilkan melodi “Korban Rindu” dengan lirik ditulis oleh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha.
Menurut Eddie Hamid, Putera Bobo memiliki aura tersendiri.
"Cara beliau menyanyi daripada hati menjadikan penyampaiannya menyentuh emosi pendengar. Saya yakin, dengan usianya yang muda, beliau mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam industri muzik.
"Kita memerlukan pelapis muda seperti ini untuk memperkukuh industri muzik tempatan,” katanya.