KUALA LUMPUR, 5 Julai - Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal melabuhkan tirai kempen "Suara 34" dengan sebuah konsert kemuncak yang dijadual berlangsung malam ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.
Menurut Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop, Konsert Suara 34 adalah kemuncak kepada siri jelajah melibatkan enam zon utama yang bermula di RTM Johor (Zon Selatan) pada 5 Januari tahun lalu.
"Konsert Suara 34 telah dianjurkan di enam zon, bermula di Zon Selatan dan kini mencapai kemuncaknya di Zon Tengah menerusi penganjuran di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.
Konsert akhir ini dimeriahkan dengan persembahan oleh 11 orang penyanyi bersama 34 pemuzik Orkestra RTM yang akan mengiringi persembahan, menjadikannya sebuah penutup yang penuh warna dan istimewa,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia, TV1 di Angkasapuri Kota Media.
Jelasnya, konsert eksklusif ini bakal menampilkan gabungan penyanyi senior dan baharu seperti Datuk Francissca Peter, Anuar Zain, Ziana Zain, Tam Spider dan Amir Masdi.
Katanya lagi, kombinasi penyanyi tersebut bersama artis lain bakal menjanjikan persembahan pelbagai genre yang merentasi generasi.
“Penonton yang hadir digalakkan memakai pakaian berwarna-warni sebagai simbol kemeriahan dan kepelbagaian suara rakyat Malaysia yang diraikan melalui Suara 34,” tambahnya.
Konsert Suara 34 merupakan kesinambungan daripada program Suara 34 yang disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad di stesen radio terlibat.
Usaha ini membuktikan komitmen RTM dalam memperkukuh semangat perpaduan dan memajukan industri penyiaran tempatan.
Konsert ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 dan platform digital RTM Klik, bermula pukul 9.00 malam.
Orang ramai, khususnya yang berada di sekitar Lembah Klang, dijemput hadir untuk memeriahkan acara ini.