fb fb fb fb fb

Singgahsana Trilogy Tour: Perjalanan muzik, kasih sayang & kekeluargaan

Singgahsana Trilogy Tour, bakal berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Ogos 2025

KUALA LUMPUR, 5 Julai- Singgahsana Trilogy Tour, sebuah siri persembahan muzik berkonsep intim yang mengetengahkan tema cinta, kasih sayang dan kekeluargaan, bakal berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Ogos 2025 di Liberal Latte, Kuala Lumpur.

Acara tersebut merupakan cetusan idea penyanyi dan komposer, Pot Amir, anggota kumpulan Innuendo dan Alkaline Radiostar dengan kerjasama pengarah projek, Taj Addin Innuendo.

Menurut Pot Amir selaku penggerak utama, jelajah berkenaan akan menampilkan tiga segmen berbeza yang disusun khas bagi mencipta pengalaman bermakna buat para hadirin.

“Pada 1 Ogos, kita akan mulakan dengan acara ‘Semoga PC’, iaitu singkatan bagi Semoga Pendoa Conference, satu majlis kenduri doa selamat dalam gaya dan sentuhan para seniman,” katanya, yang menekankan unsur kebajikan dan nilai spiritual sebagai pembuka tirai penganjuran.

Malam berikutnya menyaksikan penganjuran R&B Date Nite yang diberi julukan “Saturday Night Live”, khusus untuk pasangan suami isteri dan pencinta muzik romantik.

Hari terakhir pula menampilkan Ratu Hi-Tea, sebuah acara santai berkonsep ‘hi-tea’ yang meraikan wanita dan ibu-ibu dengan suasana eksklusif serta persembahan istimewa.

Setiap malam persembahan akan dibarisi artis jemputan seperti Azan Addin, Zain Hamid, Sein Qudsi (Ruffedge) dan Lah Ahmad, diiringi pemuzik profesional dari kumpulan Semogaband.

Tambah Pot Amir, Singgahsana Trilogy Tour merupakan usaha kecil namun signifikan dalam memperjuangkan nilai kekeluargaan dan kasih sayang menerusi medium muzik dalam suasana selesa, sopan dan bebas alkohol.

Setiap acara dihadkan kepada 90 peserta bagi mengekalkan suasana eksklusif dan mesra pengunjung.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE