KUCHING, 15 September - Seramai 11 peserta Kemuncak Bintang Kecil 2025 bukan sahaja mengasah bakat nyanyian, malah diberi pendedahan mengenai dunia penyiaran dan warisan budaya sepanjang berada di Kuching.
Buat julung kali, Broadcast Village diperkenalkan bagi memberi peluang peserta mencuba pengalaman menjadi pengacara, penyampai radio dan pembaca berita.
Menurut Penerbit Berambeh Bintang Kecil 2025, Muhamad Asyraf Ishak, inisiatif itu bertujuan menimbulkan minat awal dalam bidang penyiaran sekali gus membuka ruang kepada peserta untuk menceburi kerjaya di RTM pada masa hadapan.
“Saya baru tahu bahawa pembaca berita menggunakan skrip dan 'prompter'. Membaca berita perlu dengan sebutan jelas kerana jika tersilap, habislah. Ada masa laju, ada masa perlahan, jadi kena ikut dengan tepat,” kata Tai Eimran Azlan, 12 tahun, dari Selangor ketika berkongsi pengalaman membaca berita.
Bagi Nurul Hafizah Safri, 11 tahun, dari Kota Kinabalu, latihan itu mengajarnya untuk lebih tenang ketika membaca berita.
“Saya baca laju, jadi tulisan di bawah pun laju. Jadi kena baca perlahan-lahan supaya tak tergagap,” ujarnya.
Sementara itu, Melissa Rose Afzan Saffuan berkata, latihan berkenaan meningkatkan keyakinan dirinya dari semasa ke semasa.
“Memang susah pada awalnya sebab tak boleh gagap. Tapi bila cuba berkali-kali, lama-lama jadi senang,” jelasnya.
Selain itu, peserta turut dibawa melawat Muzium Budaya Borneo, Kuching, bagi menambah ilmu pengetahuan mengenai sejarah, seni dan budaya masyarakat pelbagai etnik di Sarawak. Lawatan sambil belajar itu turut disertai ibu bapa, tenaga pengajar, jurulatih vokal serta kru penerbitan RTM bagi memastikan kelancaran program.
Muhamad Asyraf berkata, aktiviti seperti lawatan ke muzium bukan sahaja memperkayakan pengetahuan peserta tentang kepelbagaian budaya, malah membantu membina jati diri mereka sebagai generasi muda yang menghargai warisan negara.