BUSAN, 17 September - Komedi jenayah arahan pengarah tersohor Park Chan-wook menjadi pembuka tirai Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) ke-30 pada Rabu, edisi yang turut memperkenalkan barisan pertandingan utama buat julung kali, selaras dengan usaha Korea Selatan mengukuhkan pengaruh budayanya di peringkat global.
Festival tahun ini berlangsung selepas kejayaan besar karya-karya yang menyoroti budaya serta pengalaman Korea Selatan, antaranya Squid Game, Parasite dan fenomena terkini, KPop Demon Hunters.
BIFF yang sekian lama menjadi medan bakat baharu Asia kini melalui rombakan dengan memperkenalkan segmen pertandingan utama menampilkan 14 judul, termasuk empat filem Korea Selatan.
Antara karya yang tersenarai ialah Gloaming In Luomu arahan pengarah berpengalaman dari China, Zhang Lu, serta filem sulung arahan bintang Taiwan, Shu Qi bertajuk Girl. Kesemua filem akan diadili juri yang diketuai pengarah Korea Selatan, Na Hong-jin.
Menurut Pengarah Festival, Jung Han-seok, edisi kali ini bukan sahaja memperluas peranan BIFF sebagai platform pencungkil bakat baharu, malah menampilkan karya-karya pengarah ternama Asia.
"Kami percaya adalah signifikan apabila sebuah festival filem Asia yang memahami budaya, bahasa dan sejarah rantau ini, menilai karya Asia dengan perspektifnya sendiri," kata Pengarah Program, Karen Park.
Park Chan-wook, yang melonjak ke pentas antarabangsa menerusi filem Old Boy pada 2004, kembali ke Busan dengan naskhah terbaharunya No Other Choice. Filem itu sebelum ini ditayangkan di Festival Filem Venice awal bulan ini.
Diadaptasi daripada novel The Ax tulisan Donald E. Westlake pada 1997, filem tersebut mengisahkan seorang pekerja yang kehilangan pekerjaan dan sanggup menyingkirkan pesaing demi peluang baharu.
Filem itu dibintangi barisan pelakon terkenal Korea Selatan termasuk Lee Byung-hun dari Squid Game dan Son Ye-jin, bintang drama Crash Landing on You.
Karya tersebut mendapat sambutan hangat di Venice pada Ogos lalu, dengan portal hiburan Variety menyifatkannya sebagai 'komedi jenayah yang mempesona'.
Pilihan tahun ini dilihat berbeza berbanding edisi lalu yang membuka festival dengan filem drama perang sejarah terbitan Netflix, Uprising, yang pernah menerima kritikan komuniti perfileman Korea Selatan kerana bertentangan dengan tradisi BIFF yang meraikan karya untuk pawagam.- AFP