KUALA LUMPUR, 17 September – Filem pendek NDHUK arahan pelajar Malaysia, Koo Hui Yin mencipta sejarah apabila menjadi karya pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara yang terpilih ke pertandingan pelajar berprestij, NEST di Festival Filem Antarabangsa San Sebastián (SSIFF) ke-73 di Sepanyol.
Pengarah muda itu mengakui tidak menyangka filem berdurasi 16 minit tersebut mampu menembusi festival antarabangsa yang berprestij.
“Perasaan saya sangat teruja dan terkejut bila menerima berita ini kerana tidak sangka filem kecil kami dapat dipilih oleh festival berprestij seperti San Sebastián.
“Saya amat bersyukur kerana berpeluang mewakili universiti, negara dan juga Asia Tenggara,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini, hari ini.
Filem NDHUK mengisahkan seorang pekerja rumah tangga dari Indonesia yang meninggalkan anaknya demi mencari rezeki di luar negara, namun dalam masa sama perlu menjaga anak orang lain.
Melalui karya itu, Koo turut mengangkat pelbagai sisi peranan wanita dalam masyarakat berdasarkan pengalaman hidupnya.
“Saya percaya Malaysia mempunyai begitu banyak kepelbagaian cerita yang belum diterokai. Yang penting, generasi muda menghasilkan filem dengan ikhlas dan dari hati,” ujarnya.
Filem tersebut terpilih bersama 14 karya terbaik daripada 473 penyertaan yang mewakili 220 sekolah filem dari 57 negara. Ia dihasilkan sebagai projek tahun akhir Koo di Fakulti Seni Sinematik, Universiti Multimedia (MMU).
Kejayaan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan institusi perfileman ternama dunia seperti La Femis di Perancis, National Film and Television School (UK), Tisch School of the Arts (Universiti New York), Columbia University, serta Lodz Film School di Poland.
Festival Filem Antarabangsa San Sebastián, yang diasaskan pada 1953, merupakan antara acara budaya paling berpengaruh di Eropah dan platform utama dunia perfileman.
Festival itu akan berlangsung dari 19 hingga 27 September ini, dan pernah menjadi pentas tayangan perdana pengarah legenda seperti Alfred Hitchcock, Pedro Almodóvar dan Wong Kar Wai.