KUALA LUMPUR, 31 Mei — Barisan bintang utama filem India "Thug Life" bertemu peminat secara langsung dalam acara khas di MyTOWN Kuala Lumpur, buat julung kalinya.
Filem Thug Life mencatat detik bersejarah dalam arena perfileman India apabila menyatukan semula dua figura legenda, pelakon tersohor Kamal Haasan dan pengarah Mani Ratnam, selepas 38 tahun sejak kolaborasi ikonik mereka dalam Nayakan (1987).
Barisan pelakon hebat seperti Silambarasan TR (STR), Trisha Krishnan, Joju George, Abhirami dan Ashok Selvan turut menjayakan filem ini.
Manakala maestro muzik tersohor, A.R. Rahman, menyumbang sentuhan magis menerusi skor muzik yang mendalam dan beremosi.
Lebih daripada sekadar sebuah filem, Thug Life merupakan pertembungan kuasa antara seni, keberanian dan semangat pemberontakan.
Mengangkat kisah seorang pejuang jalanan yang dilupakan dan dikhianati, Thug Life merungkai perjalanan seorang individu yang bangkit menjadi simbol perlawanan terhadap sistem yang menindas. Filem mengisahkan kebangkitan, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga moral dan kerohanian.
Filem Thug Life dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun 2025.