MELAKA, 1 Jun- Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM) komited mengangkat martabat seni, budaya dan warisan bersejarah negeri itu menerusi tiga teater bangsawan yang dipentaskan bermula 23 Mei hingga 15 Jun ini.
Pementasan di Panggung Bangsawan Melaka itu membabitkan persembahan Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka, Teater Tinta Runtuhan Bila Keris Berdenting Berbisik dan Teater Tradisional Tun Fatimah Srikandi Melaka.
Presiden PERTEM, Lokman Ghani, berkata pementasan itu bukan sahaja dapat mengangkat industri teater tanah air ke peringkat yang lebih tinggi, malah berpotensi menarik minat pelancong dan peminat teater dari luar negeri.
Jelasnya yang juga pengarah ketiga-tiga teater tersebut, pementasan teater itu merealisasi hasrat kerajaan negeri dalam usaha memperkasa nilai seni dan budaya.
"Teater Bangsawan Sahmura Empayar Melaka berkisar perjuangan hidup tiga Srikandi Melayu iaitu Tun Kudu, Tun Teja dan Tun Fatimah.
"Teater tersebut sudah dipentaskan pada 23 hingga 25 Mei lepas. Ia menampilkan barisan pelakon popular seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Neera Azizi dan Ashraf Muslim.
"Pada 31 Mei kita pentaskan pula Teater Puisi Tinta Runtuhan Bila Keris Berdenting Berbisik. Teater ini pastinya lebih istimewa apabila menggabungkan elemen silat, puisi dan tarian dalam satu naskhah.
"Teater dengan kerjasama Boolan Trending itu menampilkan barisan pesilat bertaraf dunia, Al Jufferi Jamari dan Lekiu Qohar serta barisan pemuisi.
"Selain turut membabitkan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, Persatuan Seni Silat Lingkaran Karet dan Kumpulan Silat seni PERTEM," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pementasan teater yang dirasmikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin di sini.