fb fb fb fb fb

Melly hiburkan kira-kira 7,000 penonton di ibu negara

Melly Goeslaw pada konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite

KUALA LUMPUR, 2 Jun- Penyanyi terkenal Indonesia Melly Goeslaw menghiburkan kira-kira 7,000 penonton menerusi Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite yang berlangsung penuh gemilang di Axiata Arena pada 31 Mei lalu.

Konsert itu merupakan kesinambungan dan penutup sempurna kepada dua siri terdahulu iaitu Back To School dan Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi) yang menyatukan peminat dari pelbagai generasi.

Konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu membuka tirai dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Ku Bahagia dalam susunan istimewa yang menggabungkan versi asal, iringan string dan orkestra.

Kemudian disusuli dengan lagu Ingin Mencintai dan Dicintai serta Pecinta Wanita. Secara keseluruhan, sebanyak 26 buah lagu dipersembahkan pada malam tersebut.

Peminat turut dipersembahkan dengan nyanyian Aina Abdul menerusi lagu Cinta, nyanyian asal Melly bersama Kris Dayanti.

Tidak ketinggalan pelakon dan pengarah filem Indonesia terkenal Nicholas Saputra dalam mempersembahkan bait-bait puisi yang mengimbau kembali kenangan filem ikonik Ada Apa Dengan Cinta.

Sementara itu Dhinda Ghania menyentuh hati peminat menerusi lagu Jangan Pernah Berubah dan Bunda.

Malam tersebut turut menyaksikan kejutan manis apabila Melly menyanyikan lagu-lagu malar segar yang pernah dipopularkan legenda muzik Malaysia seperti Janji Manismu (Datuk Aishah), Aku Cinta Padamu (Datuk Seri Siti Nurhaliza), dan Isabella (Search).

Konsert tersebut turut dihadiri dan dimeriahkan tokoh muzik tersohor, Datuk M. Nasir, sebagai tanda sokongan kepada Melly dan dunia muzik nusantara.

Pengarah muzik konsert berkenaan ialah Anto Hoed yang juga suami kepada Melly.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI