KOTA BAHRU, 4 Mei - Empat pasukan berjaya mara ke Pertandingan Akhir Dikir Barat 2024 yang akan berlangsung di Dewan Terbuka Kelantanfm pada 11 Mei depan.
Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Shaheezam Said berkata, kumpulan Warisan Seni Samudera Gombak, Sidi Sakti Melor, Sirat Maharaja dan Seruling Kasih masing-masing bersaing untuk merebut hadiah wang tunai RM30,000 (Johan), RM20,000 (Naib Johan), RM10,000 (ketiga) dan RM5,000 (keempat).
Pertandingan dikir barat yang dibawakan Yaya Empire Perfume itu dijangka menerima sambutan luar biasa daripada peminat-peminat dikir barat di negeri ini memandangkan pertandingan sebelumnya diadakan di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Majlis Koordinator Yaya Nadia Empire, Mohamad Syahmin Mohammad Nazri, berkata RTM memainkan peranan yang besar dalam mengangkat kembali seni warisan budaya negara supaya tidak hilang ditelan arus modenisasi.
"Kolaborasi bersama RTM amat tepat dan matlamat Yaya Empire adalah untuk mencapai objektif iaitu mencungkil bakat baru di samping bersama-sama RTM dalam memastikan dikir barat RTM kali ini lebih baik daripada dikir barat yang lepas," katanya kepada RTM.
Pertandingan Dikir Barat separuh akhir yang berlangsung hari ini menampilkan lapan kumpulan dikir barat dan berjaya menarik lebih satu juta tontonan di media sosial Facebook Kelantanfm selain menerima sambutan menggalakkan daripada penonton secara fizikal.