KUALA LUMPUR, 4 Mei- Pasangan pelakon sensasi, Janna Nick dan Dini Schatzmann menyifatkan Hari Raya Aidilfitri kali ini merupakan pengalaman terindah buat mereka sebagai suami isteri.
Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 29, yang juga seorang penyanyi, dalam nada sebak berkata, pengertian Aidilfitri baginya antara lain adalah mengenai kekeluargaan.
"Saya menangis kerana rasa sangat beruntung. Allah beri saya peluang untuk rasa keindahan. Setiap kali raya, wartawan akan tanya soalan seperti pengalaman indah raya... saya tak tahu nak jawab apa. Tetapi sekarang buat pertama kali, saya boleh jawab soalan itu dan saya rasa sangat gembira, Alhamdullilah.
"(Sekarang) saya boleh... orang kata, ada seseorang yang saya boleh panggil keluarga untuk meraikan hari raya. Raya ini, ia tentang keluarga, berkumpul dengan semua orang," katanya kepada pemberita dalam majlis Raikan Raya bersama Warner Music Malaysia, baru-baru ini.
Sementara itu, Dini atau nama sebenarnya, Muhamad Dini Azan Schatzmann, 30, turut mengakui perkara sama bahawa Aidilfitri kali ini adalah yang terindah bersama isteri tercinta.
"Sudah tentulah, sebab saya tidak membesar di Malaysia, jadi tak pernah rasa sambutan yang begitu kuat sehinggalah sekarang bersama isteri. Ini adalah raya terindah buat saya," katanya.
Janna dan Dini mendirikan rumah tangga pada Jun 2023 dalam majlis pernikahan secara tertutup di sebuah resort terkemuka di Langkawi.
Dalam pada itu, Janna yang popular dengan lagu berjudul 'Gatal' telah memenangi Anugerah 1X Platinum bagi Penjualan Digital tertinggi daripada Warner Music, baru-baru ini.
"Sudah tentu pencapaian ini akan boost lagi semangat untuk terus menyanyi. (Sementara itu) single terbaharu saya akan keluar pada 3 Mei (semalam) berjudul 'Rasa Cinta'.
"Saya harap lagu itu akan diterima ramai," katanya.