fb fb fb fb fb

FDAM galak ahlinya mencarum SKSPS PERKESO

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 4 Mei- Semua ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) digalakkan untuk menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan mencarum bawah skim itu untuk perlindungan ketika bekerja.

Menerusi satu kenyataan, Presidennya Datuk Afdlin Shauki Aksan memaklumkan, ahli-ahli FDAM perlu memanfaatkan peluang itu dengan segera menyertai skim berkenaan kerana risiko untuk mereka mendapat kemalangan ketika berada di set penggambaran boleh berlaku pada bila-bila masa.

Beliau berkata skim berkenaan banyak memberi manfaat kepada ahli FDAM terutama bagi mereka yang sebelum ini tidak pernah membuat caruman mahupun mempunyai insurans peribadi.

"Seperti mana kita tahu, kebanyakan golongan penggiat seni tidak mempunyai pendapatan tetap, justeru ada yang mampu dan tidak mampu untuk mendapatkan insurans perlindungan diri sendiri.

"Apa yang menarik, SKSPS yang ditawarkan kali ini merupakan skim perlindungan insurans termurah untuk ahli FDAM sendiri mengambil peluang mencarum.

“Apabila setiap ahli menyertai SKSPS, ia sekurang-kurangnya dapat menampung sebarang kesulitan yang mungkin berlaku,"katanya.

Afdlin memaklumkan, FDAM turut berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi, FINAS dan PERKESO kerana membantu dengan menaja 4,500 kuota untuk golongan penggiat seni membuat caruman menerusi SKSPS.

Malah katanya, ia juga adalah peluang keemasan buat ahli FDAM kerana caruman yang ditawarkan akan dibiayai FINAS bagi tempoh setahun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE