KUALA LUMPUR, 13 Jun – Seramai 254 peminat konsert G-Dragon 2025 World Tour [ÜBERMENSCH] berisiko tidak dibenarkan masuk ke venue selepas tiket mereka dikenal pasti terlibat dalam aktiviti ‘scalping’ dan dijual semula tanpa kebenaran pada harga mencecah lebih RM10,000.
Penganjur konsert, Star Planet menerusi kenyataan berkata tindakan tegas diambil terhadap individu yang terbabit dalam penjualan semula tiket secara haram.
“Kami telah mengenal pasti beberapa tiket yang terlibat dalam aktiviti scalping. Tiket-tiket ini telah diisytiharkan tidak sah dan pemegangnya tidak akan dibenarkan masuk ke konsert,” katanya.
Menurut penganjur, semua tiket yang dibatalkan telah dikembalikan semula ke pasaran melalui platform rasmi BookMyShow bermula 6 Jun lalu bagi memastikan peminat sebenar mendapat peluang yang adil.
Langkah itu melibatkan penjualan semula 254 tiket bagi kedua-dua hari konsert.
“Kami telah menerima maklumat mengenai beberapa kes yang disyaki melibatkan scalping tiket. Pembelian tiket tersebut kini sedang disiasat dengan lebih lanjut,” tambah kenyataan itu.
Pihak penganjur turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli tiket daripada mana-mana individu atau saluran tidak rasmi kerana berisiko ditolak masuk tanpa sebarang bayaran balik.
“Kami menyeru semua peminat untuk tidak membeli tiket daripada scalper atau sumber tidak rasmi kerana berisiko ditolak masuk tanpa sebarang bayaran balik.
"Pemantauan bukan sahaja tertumpu kepada aktiviti scalping semata-mata, malah turut melibatkan semakan menyeluruh terhadap sebarang ketidakaturan dalam sistem jualan tiket bagi mengelakkan pembatalan tidak sengaja terhadap pembeli sah," katanya
Berhubung kemungkinan penambahan kuota tiket, penganjur memaklumkan perkara tersebut bergantung kepada semakan semasa serta tertakluk kepada rundingan bersama pengurusan artis dan pasukan jelajah.
Orang ramai disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui laman sesawang atau media sosial rasmi penganjur.