fb fb fb fb fb

Bella Astillah kembali dengan single emosi “Lebih Indah Berpisah”

Bella Astillah kembali dengan single emosi “Lebih Indah Berpisah” / Foto umusic.box.com

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single terbarunya yang berjudul “Lebih Indah Berpisah”, hasil kolaborasi istimewa bersama komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda.

Lagu itu mengangkat tema kekuatan hati dalam melepaskan cinta yang tidak lagi dihargai demi kehidupan yang lebih bermakna.

Menurut Bella, pemilihan tajuk lagu itu dihasilkan secara sepakat selepas beberapa perbincangan bersama Ade.

“Bermula daripada cadangan tajuk yang asalnya sedikit berbeza, akhirnya kami bersetuju memilih perkataan indah sebagai teras utama judul ini. Ia mencerminkan sisi positif daripada sebuah perpisahan,” ujar Bella dalam satu sidang media baru-baru ini.

Lagu ciptaan penuh jiwa itu dikatakan menjadi simbol keberanian untuk meninggalkan sesuatu yang tidak lagi membawa kebaikan. Bella turut memuji pengalaman bekerjasama dengan kru produksi di Indonesia.

“Mereka sangat menghormati masa, bakat dan orang lain tanpa memandang siapa kita. Suasana di studio sangat positif dan penuh sokongan... saya jadi lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Tambah Bella lagi, lagu tersebut bukan sekadar karya muzik, tetapi juga satu bentuk terapi dan kekuatan kepada sesiapa yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup.

“Saya buat lagu ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk diri saya sendiri dan untuk menjadi lebih baik... Saya mahu lagu ini menjadi teman dan sumber kekuatan kepada mereka yang memerlukan.”

Sementara itu, Ade Govinda menyifatkan lagu itu sebagai penghormatan kepada kekuatan hati seseorang yang memilih untuk melepaskan.

“Kalau cinta anda tidak dihargai, semoga lagu ini memberi keberanian untuk ambil keputusan yang tepat. Bella sendiri menunjukkan kesabaran dan keikhlasan yang luar biasa... lagu ini benar-benar menyentuh,” jelas Ade.

Beliau turut memuji profesionalisme Bella sepanjang proses rakaman dan penggambaran muzik video.

“Bella sangat profesional, bukan sahaja dari segi nyanyian tetapi juga dalam lakonan video muzik. Komitmen dia memang hebat,” kata Ade.

Lagu “Lebih Indah Berpisah” telah mencatat lebih 700,000 tontonan di YouTube sejak ia dilancarkan bulan lalu. Bella dan Ade dijadualkan hadir ke Kuala Lumpur bulan ini untuk menjayakan sesi promosi lagu tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN