LOS ANGELES, 30 Mac- Pelakon terkenal Richard Chamberlain, yang mencuri perhatian sebagai hero kacak dalam siri TV popular seperti "Dr. Kildare," "The Thorn Birds" dan "Shogun," meninggal dunia pada usia 90 tahun.
Media melaporkan beliau menghembuskan nafas terakhir di Waimanalo, Hawaii, pada Sabtu akibat komplikasi strok, menurut Variety.
"Beliau adalah Shogun yang asal. Beliau adalah Jason Bourne yang pertama. Beliau adalah ikon kegilaan ramai pada zamannya," kata rakan serta pelakon David Havasi menerusi laman X.
Chamberlain, dengan wajah tampan dan bakat besar, mempunyai kerjaya seni yang luas dan berpengaruh. Selain membintangi siri TV terkenal, beliau juga bergiat aktif dalam teater muzikal dan lakonan pentas klasik, termasuk peranan Hamlet di Birmingham, England.
Antara filem terkenal lakonannya termasuk Aramis dalam "The Three Musketeers" (1973) dan Allan Quatermain dalam "King Solomon’s Mine" (1985). Beliau juga merupakan pelakon pertama yang membawakan watak Jason Bourne dalam filem TV "The Bourne Identity" (1988).
Chamberlain lahir di California dan merupakan graduan Beverly Hills High School. Selepas berkhidmat dalam tentera dan berpangkat sarjan, beliau mengasaskan kumpulan teater Company of Angels di Los Angeles.
Namanya melonjak naik apabila membawakan watak Dr. James Kildare, seorang doktor muda dalam siri NBC/MGM yang menjadikannya idola ramai seawal usia 27 tahun.
Pada akhir 1960-an, beliau menyertai teater repertori di England untuk mengukuhkan reputasinya sebagai pelakon serius.
Sepanjang kerjayanya, Chamberlain memenangi tiga anugerah Golden Globe menerusi "The Thorn Birds," "Shogun" dan "Dr. Kildare."-AFP