KUALA LUMPUR, 29 Mac- Saban tahun kemeriahan Syawal seringkali dimeriahkan dengan pelbagai lagu bertemakan Hari Raya Aidilfitri, tetapi bahangnya pada tahun ini kian menonjol dengan pelbagai genre lagu berkenaan dinyanyikan artis baharu dan lama pelbagai bangsa.
Tidak terkecuali pelakon, pelawak dan pengacara Douglas Lim turut menghasilkan lagu berjudul Aidilfitri Di Malaysia. Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Douglas itu turut mendapat kejasama daripada Jason Voo, Adil Halim dan Ayop Azril.
Lagu berkenaan turut menampilkan rakan duet yang merupakan seorang Youtuber, Murthy. Muzik video tersebut turut menampilkan pelakon dan penyanyi Chelsia Ng.
Lagu berkenaan yang dimuat naik sejak 19 Mac lalu telah mendapat lebih 379,000 tontonan.
Rata-rata pengguna platform berkenaan meninggalkan komen positif dan berpendapat bahawa karya tersebut melambangkan semangat perpaduan Malaysia.
@EzeriELP meninggalkan komen; “Lagi sebeginilah yang melambangkan semangat kebangsaan Malaysia. Ia akan membangkitkan rasa kasih sayang antara kaum.
“Ia melambangkan semangat Malaysia yang tinggi. Douglas Lim dan dua rakan penyanyi lambang bangsa Malaysia sebenar! Tahniah saudara Douglas Lim. Terima kasih atas semangat patriotisme,” tulisnya.
Menerusi komen yang ditulis @PrinceInShadow; “Hari Raya bukannya perayaan orang Melayu tetapi ia disambut pelbagai kaum yang beragama Islam.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua orang Melayu, Cina, India, Iban, Melanau, Kadazan, Murut dan orang asli yang beragama Islam,” menurut komen berkenaan.
Sementara itu pelakon Pashini Sivakumar turut membuat hantaran video muzik menerusi akaun TikTok menggunakan lagu nyanyian daripada Mimifly berjudul Serumpun.
Menurut Pashini, "Kami benar-benar Anak Malaysia apabila kami 'balik kampung' untuk Raya, mendapatkan 'angpau' untuk Tahun Baharu Cina (CNY) dan menghias 'kolam' untuk Deepavali. Kita berkongsi tradisi dan meraikannya bersama! Perpaduan adalah kekuatan kita!
"Selamat Hari Raya, Maaf zahir dan batin! Semoga kita semua terus hidup dengan penuh kasih sayang dan harmoni," menurut kapsyen yang ditulis Pashini.
Menerusi ruangan komen video berkenaan, netizen berpandangan ia menggambarkan kesepaduan masyarakat di Malaysia tetap utuh tanpa mengira kaum.
Pengguna TikTok @raziahnizamuddin meninggalkan komen; “Betul-betul satu Malaysia serumpun. Hari Raya bukan hanya untuk diraikan orang Melayu sahaja. Satu negara meraikannya.”
@syajalee pula meninggalkan komen; “Inilah Malaysia. Jangan cuba memecahbelahkan kami, kami serumpun.”
Nyata usaha kecil ini amat dihargai masyarakat di Malaysia dan ia merupakan inisiatif penggiat seni tempatan dalam mencipta suasana muhibah serta meraikan kepelbagaian termasuk keunikan di Malaysia.
Serumpun merupakan lagu ciptaan sepenuhnya Mimifly dan Cuurly dan sehingga kini video berkenaan telah mencecah lebih 2.5 juta tontonan.
Nyata semangat perpaduan yang ditonjolkan menerusi penyampaian lagu sempena Aidilfitri menyerlahkan lagi kesepaduan dalam kalangan rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Keutuhan semangat yang dipamerkan ini perlu dipelihara semua pihak tanpa mengira warna kulit selain meraikan dan menghormati kepelbagaian agama, warisan dan budaya di Malaysia.
Usaha kecil yang dilakukan penggiat seni tanah air dalam menyemarakkan semangat untuk meraikan sambutan Aidilfitri tidak sekadar mencipta fenomena malah ia juga sebagai tunjang dalam memperkukuh kesepaduan masyarakat.
Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menampilkan lagu Raya Nak Ke Mana? berentak zapin yang mendapat sentuhan Aisha Retno dan adiknya RADi atau Sayed Abu Hanifa Radityo manakala lirik ditulis Aisha bersama Amylea Azizan.
Selain Siti Nurhaliza, beberapa penyanyi lain turut tampil dengan lagu sempena Aidilfitri seperti Hael Husaini dan Nadeera Zaini (Meriah lain Macam); Wany Hasrita (Raya Telah Tiba); Dayang Nurfaizah (Jodoh Hari Raya); Shiha Zikir dan Ieda Zikir (Tum Tum Raya) serta Umairah (Tak Balik Raya).